Bicara ATIPSOM: Boleh guna afidavit pendatang yang dihantar pulang

Bicara ATIPSOM: Boleh guna afidavit pendatang yang dihantar pulang

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan keterangan bersumpah pendatang yang diseludup masuk ke negara ini dan telah dihantar pulang ke negara asal, boleh digunakan sebagai bukti pada perbicaraan kes antipemerdagangan dan penyeludupan orang.

Perkara itu diputuskan oleh panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas mengisytiharkan Seksyen 61A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), sah dan berperlembagaan.

Seksyen 61A ATIPSOM memperuntukkan keterangan bersumpah dalam bentuk afidavit orang yang diseludup masuk ke negara ini dan dihantar pulang ke tempat asal, boleh diterima sebagai bukti prima facie.

Mahkamah berpuas hati bahawa kebolehpercayaan keterangan melalui afidavit tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan atau menghalang mana-mana individu mendapat perbicaraan yang adil. Pada hemat panel itu, bukti prima facie bagaimanapun masih boleh dicabar dan tertakluk kepada penilaian kehakiman terhadap beban pembuktian dan kredibilitinya.

Hakim Tengku Maimun dalam keputusan itu berpuas hati, seksyen berkenaan adalah adil dengan mengambil kira situasi unik dalam kes ATIPSOM melibatkan warga asing yang dibawa ke negara ini secara haram.

“ATIPSOM memberi hak kepada mangsa dalam kes-kes tertentu untuk segera dihantar pulang ke negara asal. Oleh itu, keseimbangan dicapai dengan membolehkan keterangan mangsa diambil tanpa membiarkannya menunggu untuk perbicaraan.

“Dalam pada itu kepentingan awam turut diseimbangkan yang mana tertuduh diberi hak dari segenap sudut untuk mempersoal dan mencabar bukti keterangan melalui pemeriksaan balas saksi-saksi pendakwaan,” katanya.

Hakim Tengku Maimun turut berpendapat, Seksyen 61A hanya boleh digunakan untuk menerima masuk bukti keterangan selepas perintah penghantaran pulang dikeluarkan terhadap pendatang berkenaan.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah, dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abu Bakar Jais serta Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Mahkamah mendengar persoalan undang-undang yang dirujuk oleh Tan Sri M. Ketheeswaran, 63 dan isterinya Puan Sri Vivienne Ketheeswaran, 68, yang menghadapi pertuduhan memperdagangkan tiga pembantu rumah warganegara Indonesia.

Yang pertama, sama ada ia tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah dengan meletakkan kuasa kehakiman terhadapnya, serta sama ada Parlimen bertindak melanggar doktrin pengasingan kuasa mengikut Perkara 121(1) Perlembagaan Persekutuan dalam membuktikan kes prima facie.

Pasangan itu juga membangkitkan sama ada Seksyen 61A ATIPSOM melanggar hak kesamarataan untuk perbicaraan yang adil bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan dan melanggar hak dijamin untuk tertuduh mengikut Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Panel itu kemudian mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan hakim berkenaan mengeluarkan perintah yang bersesuaian dan selari dengan keputusan mahkamah.

Peguam-peguam Datuk Seri K. Kumaraendran, M. Athimulan, Teh See Khoon and Shaarvin Raaj mewakili pasangan tersebut manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Yusaini Amer Abdul Karim, Nahra Dollah, Dhiya Syazwani Azyan Akhir mewakili pihak pendakwaan.

Sebelum perbicaraan bermula di Mahkamah Sesyen, pihak pembelaan membangkitkan persoalan undang-undang untuk mencabar seksyen berkenaan dan menyebabkan hakim bicara merujuk isu itu ke Mahkamah Tinggi yang kemudiannya merujuk perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 12 April 2019, suami isteri itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan memperdagangkan tiga pembantu rumah warga Indonesia antara Oktober 2012 dan Mac 2019.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat bersama memperdagangkan tiga wanita warga Indonesia berusia 25 dan 41 tahun bagi eksploitasi kerja paksa di sebuah rumah di Kajang.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang Tan Sri yang juga bekas Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) bersama isterinya kerana didakwa mendera tiga pembantu rumah warga Indonesia.

Tiga pembantu rumah itu didakwa ditumbuk, ditampar dan tidak dibayar gaji oleh majikan mereka sebelum bertindak memanjat pagar banglo untuk melarikan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN