Berzapin di KLIA - Utusan Malaysia

Berzapin di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEGEMBIRAAN terpancar di wajah ahli kumpulan Legasi Seni sewaktu diumumkan sebagai juara pertandingan zapin pada Festival Tarian Tradisional Kreasi Joget dan Zapin Terbuka Belia Malaysia Madani, baru-baru ini. 

Kemenangan wang tunai RM5,000 itu, sekali gus menafikan impian sembilan lagi kumpulan lain yang berentap, antaranya Tari Lana, Arts Talent Production, Limar Tari dan Akar Seni. 

Nyata usaha bertungkus-lumus 10 ahli kumpulan selama hampir tiga minggu menjelang pertandingan akhir, membuahkan hasil. 

Penceritaan Zapin Sebat yang popular di Sarawak yang diangkat sebagai penceritaan dalam tarian rupa-rupanya berjaya menambat hati juri. 

Koreografi kumpulan, Yunnus Enn Zainalabidin berkata, zapin berkenaan berasal dari Kampung Sebat, sebuah daerah kecil di Sematan, Lundu. 

“Untuk pertandingan ini, saya ambil banyak masa berjumpa pakar zapin sebelum sesi latihan bersama penari diadakan. 

“Penari perlu faham tentang penceritaan sesebuah karya sebelum mereka bertingkah di atas pentas,” katanya. 

Pemuda asal dari Sarawak ini menjelaskan beliau mengangkat zapin yang bersesuaian dengan konsep pertandingan. 

Beliau ditemui usai pertandingan berlangsung di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini. 

Zapin Sebat dikoreograf menggunakan 11 ragam gerak dengan mengekalkan asas-asas gerak langkah iaitu sembah mula, mula langkah, mula langkah pusing, mabuk kemenyam, langkah tiga, tumpah madu, bermain gelombang, meniti gigi air, gigit lembadak, beradung dan langkah sebaya. 

Legasi Seni turut mempersembahkan joget kreasi, menopeng yang popular di Sarawak. 

Kalau di Lembah Klang, ia seakan-akan seperti Joget Lambak. 

“Macam kita beronggeng-ronggeng. Jadi, karya itu diangkat dan dikreasikan bersesuaian konsep pertandingan. “

Penari berusaha menterjemahkan setiap pergerakan dengan baik dan bertingkah penuh tertib,” kata alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ini. 

Legasi Seni yang dianggotai alumni Aswara, ditubuhkan sejak 2014. 

Kumpulan itu  kerap menyertai pertandingan di sekitar Lembah Klang, malah pernah menerima jemputan persembahan di Kota Solo, Padang, Indonesia. 

ANJURAN KALI KE EMPAT 

Pertandingan berlangsung di anjung terbuka KLIA itu merupakan kolaborasi kali keempat Malaysia Airpots Berhad (MAHB) bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam usaha memartabatkan khazanah seni budaya negara, selain melahirkan suasana ceria kepada pengguna lapangan terbang. 

Antara hadir ialah Pengerusi Malaysia Airports, Tan Sri Zainun Ali dan Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dr. Christina Yeo Ken Yin. 

Sementara itu, Naib Presiden MBM, Khairul Azman Abdul Azeez berharap pertandingan dianjurkan itu, mampu menarik minat rakan strategik lain serta tidak terhenti setakat hari pertandingan sahaja. 

Penganjuran itu juga merupakan platform terbaik bagi mempromosikan tarian tradisional ke seantero dunia selain menarik minat pelancong. 

“Lebih 100 peserta bertanding dan melalui tapisan sebelum 10 kumpulan terbaik berentap. Selain tarian tradisional, kita juga berharap pertandingan lain yang mewakili etnik dan kebudayaan tertentu dianjurkan. 

“Kita sangat mengalu-alukan kehadiran lebih ramai penaja agar ia dapat menarik minat penyertaan lebih ramai peserta,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya