KUALA LUMPUR : Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini membuat laporan polis terhadap kenyataan Ketua Penerangan MIC Selangor, Awtar Singh yang menggesa mesyarakat bukan beragama Islam menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal Agama Islam di Malaysia, begitu juga sebaliknya.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, kenyataan tersebut dilihat seperti menghina titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang juga merupakan Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), berhak dalam membuat setiap keputusan.
Tegas Wan Saiful yang juga merupakan Ketua Bahagian Bersatu Bangi, tindakan Awtar itu juga boleh mencetuskan keadaan tidak harmoni serta menimbulkan gangguan kepada ketenteraman awam.
“Bersatu Bangi membuat laporan polis terhadap seorang individu bernama Awtar Singh berkaitan satu video tular yang dimuat naik di akaun TikToknya. Saya telah meminta Encik K Vasantha Kumar selaku Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Bangi membuat laporan tersebut di Bangi pada pagi hari ini.
“Bersatu Bangi mendesak agar pihak berkuasa mesti tegas membuat siasatan dan mengambil tindakan segera kerana sekarang ini seolah-olah wujud suasana berat sebelah dalam proses penguatkuasaan.
“Bersatu Bangi juga menuntut Awtar Singh memohon keampunan daripada Tuanku Sultan Selangor dan seluruh rakyat negeri Selangor di atas keceluparan yang dilakukan beliau,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Wan Saiful lagi, carian terkini turut mendapati video itu telah dipadamkan setelah ia tersebar meluas.
Di dalam video tersebut, Awtar menyebut orang Islam disaran untuk tidak mencampuri urusan orang bukan Islam dengan mengambil contoh beberapa tindakan diambil sehingga mengarahkan operasi judi Magnum dan Toto ditutup.
Begitu juga dengan larangan menjual minuman keras sekali gus Awtar berkata, orang Islam sepatutnya tidak mencampuri hal orang bukan Islam sehingga meletakkan larangan yang berkaitan dengan mereka.
“Kita bukan Islam pun tidak mahu campur you (awak) orang punya urusan tetapi you orang pun jangan campur kita punya urusanlah, banyak senang sahaja. Berapa negeri yang magnum toto suruh bagi tutup, minuman keras tidak boleh jual, semua you orang mahu control (kawal), you orang janganlah beli magnum toto, you orang janganlah minum minuman keras. Itu semua you orang campur juga, itu semua kebebasan agama lain, kaum lain, you mahu campur juga,” katanya. – UTUSAN