PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa akan pupus tidak lama lagi kerana parti itu disifatkan bukan sebagai parti perjuangan.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendakwa, berbanding Pas, parti itu menjadikan Islam sebagai asas perjuangan mereka.
Menurutnya, asas perjuangan itu menyaksikan tiada ahli Parlimen daripada Pas yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun tidak mendapat peruntukan.
“Sanusi (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor) dakwa Ahli Parlimen Tanjung Karang sokong Anwar kerana lapar. Kelaparan kerana tidak dapat peruntukan untuk jaga kawasan.
“Kalau begitu mungkin beberapa lagi Ahli Parlimen Bersatu akan ikut jejak enam Ahli Parlimen Bersatu tersebut. Ini memalukan Muhyiddin.
“Bersatu akan pupus tidak lama lagi. Bersatu bukan parti perjuangan. Sebab itu tidak ada Ahli Parlimen Pas isytihar sokong Anwar. Mereka pun lapar juga. Tapi Pas menjadikan Islam perjuangan mereka,” dakwanya dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini media melaporkan, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) menyifatkan, sokongan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanafi kepada Perdana Menteri kemungkinan berpunca daripada tekanan demi tekanan yang dihadapi wakil rakyat Bersatu itu.
“Saya pun tak pernah bersembang dengan beliau (Zulkafperi) tetapi saya rasa itulah sebabnya (tekanan). Dibiarkan orang itu ‘lapar’ dalam keadaan tekanan berlaku di Parlimen tersebut menerusi tuntutan bermacam-macam.
“Beliau tak ada kemampuan dan apabila sudah letih, maka terpaksalah (beralih sokongan),” katanya.
Untuk rekod, Dr. Zulkafperi merupakan ahli Parlimen daripada Bersatu yang keenam mengisytiharkan sokongan kepada Anwar selepas enam yang lain iaitu Syed Abu Hussin (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan).- UTUSAN