NAMA Ali Karimi semakin disebut-sebut selepas keberkesanan lakonannya membawakan watak Brahim dalam filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dua tahun lepas.
Pemilik nama sebenar Ali Karimi Abdul Rahman ini mengorak langkah lebih jauh dalam dunia lakonan menerusi filem kesinambungan Mat Kilau, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah yang bakal menemui penonton 11 Januari depan.
Ali sebelum ini pernah menjadi mangsa tanggapan liar netizen yang membuat andaian kononnya keberadaannya dalam dua filem epik tersebut disebabkan statusnya sebagai anak penerbit.
Tenang Ali menjawab ketika diajukan tentang perkara tersebut. Katanya dia berlapang dada dan menerima pandangan masyarakat dengan hati dan fikiran terbuka. Namun, status sebagai anak penerbit bukan batu loncatan atau ‘bekalan’ untuk menjadi pelakon.
“Pandangan itu biasa dihadapi mana-mana anak penerbit drama atau filem. Bukan sesuatu yang luar biasa. Ramai orang menganggap saya diambil berlakon sebab saya anak penerbit.
“Apa pun, perlu saya jelaskan lantikan saya sebagai pelakon watak Brahim adalah disebabkan kesesuaian saya dengan karakter tersebut.
“Selain itu, kebolehan menggunakan senjata Tekpi juga menjadi faktor kenapa saya dipilih untuk watak Brahim. Sebagai pelakon, saya mahu berikan yang terbaik dan saya harap hasil lakonan yang saya berikan dapat memadam pandangan negatif orang,” katanya semasa sidang media Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, semalam.
Filem yang diarahkan Saiful Reza Shukor dan Shaharudin Mat Dali itu turut dibintangi Fattah Amin, Nur Fazura, Wan Hanafi Su, Namron, Nadhir Nasar, Amir Ahnaf dan ramai lagi.
BRAHIM
Ali mengakui Brahim, yang kurang menonjol dalam filem Mat Kilau, akan lebih menyerlah menerusi Pendekar Awang.
Katanya, tugas yang digalas dalam filem tersebut adalah lebih berat disebabkan peranan watak yang dijayakan semakin penting dan memberi impak kepada keseluruhan jalan cerita Pendekar Awang.
“Dalam Pendekar Awang, penonton akan menyaksikan bagaimana watak Brahim lebih banyak ditampilkan ekoran peranannya yang penting di sisi Tok Gajah, selain penglibatannya dalam perang menentang penjajah.
“Saya harap lakonan saya memberi impak dan diterima baik penonton yang bakal ke pawagam untuk menonton filem ini nanti,” kongsinya.
Dalam pada itu, Ali memaklumkan, selain Syamsul dan Areel, dia juga selesa bekerja dengan dua pengarah, Saiful dan Shahrudin yang meneraju Pendekar Awang.
“Saya sempat bekerja dibawah arahan Syamsul Yusof, Areel Abu Bakar, Saiful dan Shaharudin. Masing-masing ada gaya pengarahan tersendiri.
“Saiful dan Shah selalu berbincang tentang katakter dan hasil yang mereka mahukan dari sudut lakonan. Sikap tersebut memudahkan saya untuk membentuk watak Brahim dengan lebih berkesan,” ujarnya.