PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan semangat perpaduan di dalam Kerajaan Perpaduan ekoran sejak setahun lalu wujud pelbagai krisis dan konflik antara parti kerajaan.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak melihat wujud perpaduan antara parti di dalam kerajaan kerana pemimpin-pemimpinnya salih membantah sesama sendiri.
Kata beliau, pemimpin-pemimpin kerajaan sering bantah-membantah mengenai dasar yang sangat penting buat negara dan rakyat.
“Ini termasuk dasar mengenai ekonomi Bumiputera, pilihan raya pihak berkuasa tempatan, undang-undang Islam dan banyak lagi. Akibatnya, kerajaan tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam hal-hal penting termasuk mengenai ekonomi negara dan kehidupan rakyat.
“Sebuah kerajaan tidak akan stabil dan gagal berfungsi dengan baik tanpa hala tuju yang jelas. Apatah lagi kegagalan mempunyai hala tuju yang jelas ini disebabkan oleh perbezaan ideologi yang ketara antara parti-parti yang menganggotai kerajaan.
“Akhirnya, kita mempunyai sebuah kerajaan yang buntu iaitu sebuah kerajaan yang tidak tahu berbuat apa-apa kerana masalah perbezaan dalaman mereka sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan terbentuk selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tiada parti berjaya mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.
18 parti di dalam Kerajaan Perpaduan terdiri daripada lima gabungan politik iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang sebelum ini menyertai Kerajaan Perpaduan bertindak menarik diri pada 10 September lalu dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa kerajaan sedang mencari mangsa politik untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada kelemahan mereka sendiri.
Menurutnya, ia bertentangan dengan janji reformasi institusi yang dilaungkan dahulu, kerajaan dilihat rakus menggunakan institusi kerajaan secara terang-terangan untuk melakukan siasatan dan pendakwaan terpilih terhadap musuh-musuh politik.
“Hak kebebasan bersuara rakyat disekat dan ruang demokrasi diancam. Dengan cara itu, mereka fikir mereka akan kekal berkuasa selama-lamanya walaupun terlihat gagal dan tidak berguna di mata rakyat.
“Inilah kerajaan yang kita ada dalam tempoh setahun ini. Sebuah kerajaan yang buntu, gagal dan tidak boleh diharap.
“Adakah kita akan hanya berpeluk tubuh melihat kegagalan kerajaan secara berterusan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dan membawa Malaysia ke tahap kemajuan yang lebih cemerlang? Malaysia memerlukan perubahan,” katanya. – UTUSAN