Beli kondominium, yang siap pangsapuri

Beli kondominium, yang siap pangsapuri

SEORANG pembeli sedang memeriksa jubin lantai di kediamannya di Bukit Serindit, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hampir 700 pembeli kediaman di sebuah kondominium di Bukit Serindit di sini kecewa selepas rumah impian mereka bagai ‘indah khabar dari rupa’, yang mana berbeza daripada perjanjian asal jual beli ditandatangani.

Setakat ini, dua blok iaitu A dan B berjaya disiapkan pemaju membabitkan 704 unit kediaman dan serahan kunci kepada pembeli telah dilakukan pada 24 Januari lalu.

Bagaimanapun, para pembeli mendapati terdapat pelbagai kerosakan dan kecacatan pada unit seperti saluran tersumbat, kebocoran, kerosakan cat dan pemasangan jubin yang tidak mengikut standard.

Seorang pembeli, Muhammad Ridzwan Abd. Satar, 33, mendakwa, pemaju tidak membina kediaman seperti terkandung dalam perjanjian jual beli dan sebarang perubahan dilakukan langsung tidak dimaklumkan.

MUHAMMAD RIDZWAN ABD. SATAR

Katanya, sebelum ini pembeli dijanjikan sebuah kediaman jenis kondominium tetapi setelah siap, ia sebenarnya adalah pangsapuri mampu milik.

“Saya sangat kecewa kerana kita beli kondominium tapi macam dapat rumah rosak. Apabila masuk rumah sendiri dan lihat keadaannya memang terkejut kerana banyak kecacatan seperti dinding melengkung dan tidak rata, pintu rintangan api tidak mengikut standard dan pintu tandas bukan kalis air.

“Kami juga terpaksa membayar yuran penyelenggaraan berjumlah RM120 sebulan termasuk deposit empat bulan yang dicaj bermula 1 Januari lalu. Saya rasa tidak adil kerana penyerahan kunci adalah pada pertengahan bulan ini selain masih banyak kemudahan yang belum siap,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan pembeli bersama pemaju.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem.

Sementara itu, seorang lagi pembeli, Norbaizura Burhanuddin, 38, berkata, dia mahu pemaju bertanggungjawab terhadap segala ‘janji manis’ yang diberikan semasa mempromosikan kediaman berkenaan.

NORBAIZURA BURHANUDDIN

Menurutnya, antara yang paling ketara apabila residensi berkenaan ditukar nama tanpa memaklumkan kepada pembeli.

“Harga rumah yang saya beli hampir RM300,000 tetapi masih belum boleh pindah masuk kerana perlu memeriksa keadaan rumah. Namun apa yang dikesalkan adalah kemudahan yang disediakan tidak sama seperti yang diuar-uarkan seperti lot parkir dan saiz kolam renang yang kecil dan bilik gimnasiun yang sempit,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Noor Helmy menyarankan pemaju menyelesaikan masalah pembeli dalam tempoh sebulan.

Tegasnya, pemaju tidak boleh lepas tangan kerana mereka memberikan maklumat tidak tepat ketika mempromosikan kediaman berkenaan.

“Sepatutnya mereka terangkan keadaan yang sebenar dan maklumkan lebih awal kepada pembeli bagi mengelakkan salah faham. Bukan semua orang boleh faham terma-terma kejuruteraan.

“Justeru, saya minta pemaju selesaikan secepat mungkin isu-isu yang dibangkitkan pembeli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya