PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat ahli perniagaan termasuk seorang bekas setiausaha politik kepada seorang bekas menteri dan seorang individu bergelar Datuk Seri kerana disyaki menerima suapan daripada beberapa syarikat serta kontraktor yang mendapat tender di sebuah kementerian.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan tiga suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 27 Januari, manakala seorang lagi suspek direman selama tiga hari sehingga 26 Januari selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Menurut sumber, penahanan terhadap keempat-empat suspek dibuat selepas suspek utama yang sebelum ini bekerja sebagai setiausaha politik seorang bekas menteri meminta dan menerima suapan bagi memastikan tender pembekalan di sebuah kementerian diperoleh pihak kontraktor.
“Keempat-empat suspek lelaki ini dipercayai menerima suapan daripada beberapa syarikat termasuk kontraktor yang mendapat tender kerja di sebuah kementerian sekitar 2020 hingga 2021 bernilai jutaan ringgit.
“Kesemua suspek ditahan sekitar pukul 7 hingga 8.30 malam tadi iaitu tiga di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir bagi direkodkan keterangan dan seorang lagi ditahan di sekitar Shah Alam, Selangor,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Katanya, SPRM juga berkemungkinan akan memanggil beberapa individu lain bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan. – UTUSAN