IPOH: Juara Liga Perdana bola sepak Ipoh, Kelab Variasi Ipoh Perak (VIP) berharap dapat meneruskan kecemerlangannya dalam saingan musim 2024.
Selain memenangi liga anjuran Persatuan Bola Sepak Ipoh (PBI) itu, VIP turut merangkul berapa gelaran kejohanan jemputan yang lain.
Pengurus pasukan, Irwan Rafes Sazali berkata, usaha sudah dilakukan untuk memantap dan mengukuhkan pasukan dengan pengambilan ramai bekas pemain negeri.
Katanya, pasukan itu terdiri daripada gabungan pemain-pemain dari Hulu Kinta dan Ipoh.
“Kami berharap mampu menjulang gelaran tambahan musim baharu ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Perasmian Kelab VIP dan pengenalan pasukan serta pelancaran jersi pasukan itu yang akan bersaing dalam Liga Super 2024 liga Ipoh oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad di sini semalam.
Pada majlis itu, Muhamad Arafat meluluskan sumbangan RM3,000 bagi membantu kelab membuat persiapan bagi Liga Super PBI tahun ini.
Irwan Rafes berkata, kelab berharap Ahli Dewan Undangan (ADUN) Perak memberikan sokongan padu kepada kelab ini.
“Kami memerlukan sokongan serta bantuan terutama dari segi kewangan dari ADUN-ADUN,” katanya. – UTUSAN