IPOH: Seorang bekas guru taska yang dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, mengekalkan pengakuan tidak bersalah dalam pendakwaan semula pertuduhan sama di Mahkamah Seksyen.
Esther Christina Samuel Ponniah, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Sebelum ini pada 12 Julai tahun lalu, ibu tunggal itu membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan meninggalkan kanak-kanak di bawah jagaannya tanpa pengawasan hingga mengakibatkan mangsa mati lemas.
Dalam prosiding di hadapan Majistret Siti Nora Sharif, beliau telah memerintahkan tertuduh dilepas tanpa dibebaskan sebelum kes berkenaan dituduh di Mahkamah Sesyen.
Mengikut pertuduhan, ibu tunggal itu didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas V. Thanes Nair, 4, telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang tidak berpatutan.
Kesalahan itu dilakukan di kolam renang di The Centro Club, Jalan Sri Klebang 2, Bandar Baru Sri Klebang di dalam daerah Ipoh pada pukul 10.20 pagi, 17 April 2023.
Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Evangelin Simon Silvaraj memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 selain syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati keluarga dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri ke balai polis sekali sebulan.
Peguam Gary Xavier yang mewakili tertuduh memohon wang jaminan RM2,500 di Mahkamah Majistret dikekalkan mengambil kira keadaan tertuduh yang sudah tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menjaga ibu berusia 80 tahun yang uzur.
Katanya, anak guamnya itu juga perlu menjalani rawatan susulan kerana telah menjalani pembedahan barah otak dan perlu mengambil ubat anti sawan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 21 Mac depan sebagai sebutan semula kes.
Media pada 23 April tahun lalu melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki menghembuskan nafas terakhir setelah tujuh hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Kejadian terjatuh ke dalam kolam renang taska itu berlaku pada hari pertama ibu mangsa menghantar anaknya ke sekolah.
Bedah siasat ke atas mayat kanak-kanak itu mendapati punca kematian akibat mati otak disebabkan lemas dan kegagalan fungsi organ. – UTUSAN