KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aisha Retno, 24, bakal membawa 30 orang penari untuk mengiringi persembahannya di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38) yang dijadualkan berlangsung Mac depan.
Aisha atau Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam, baru-baru ini memberi bayangan lagu Sutera yang dipersembahkannya pada acara berprestij itu nanti akan dipentaskan dengan unsur budaya yang digabungkan bersama muzik tarian elektronik (EDM).
“Apa yang boleh saya kongsikan, kami akan memfokuskan kepada unsur budaya. Di Malaysia, kita jarang melihat muzik kebudayaan dan EDM digabungkan.
“Saya tidak gusar tentang props memandangkan tema AJL kali ini sudah menarik.
“Selain penari, akan ada gimik yang bakal saya tampilkan. Nantikan ya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Aisha dalam pada itu memilih untuk berguru dengan peserta yang lebih berpengalaman walaupun lagu yang bakal dipertandingkannya nanti dianggap berpotensi menjuarai AJL.
“Saya teruja dan gemuruh memandangkan saya baru untuk pentas AJL. Peserta lain kebanyakannya berpengalaman.
“Jawapan ini mungkin klise, tapi saya tidak mensasarkan kemenangan. Saya hanya mampu memberi persembahan yang terbaik buat peminat lagu ini.
“Walaupun pernah dikaitkan dengan beberapa kontroversi sebelum ini, Sutera tetap menjadi lagu kegemaran saya,” tambahnya yang menyifatkan Shiha Zikir sebagai pencabar terdekat.
Sebelum ini, Sutera dinobatkan sebagai Lagu Terbaik di episod kedua Separuh Akhir Muzik-Muzik 38 (SFMM38) yang berlangsung pada Disember lalu.
Kejayaan itu melayakkan Aisha membawa pulang RM3,000 berserta barangan eksklusif tajaan Alha Alfa.
AJL38 akan disiarkan secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mac depan.