TANJUNG MALIM: Sebuah bas ekspres dua tingkat yang membawa 17 penumpang terbakar di Kilometer 375.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5.19 pagi itu, kesemua mereka bersama dua pemandu bas terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dibantu BBP Tanjung Malim diatur gerak ke lokasi selepas menerima panggilan yang memaklumkan kejadian itu.
Katanya, sewaktu anggota tiba di lokasi, didapati api sedang marak dan sebuah bas ekspres dua tingkat terbakar lebih 80 peratus.
“Semasa kejadian, bas itu membawa 14 penumpang lelaki dan dua penumpang wanita. Kesemua mereka berjaya dikeluarkan dari kenderaan sebelum kebakaran merebak.
“Tiada kecederaan dialami semua penumpang. Difahamkan, bas berkenaan dalam perjalanan dari Johor ke utara,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, anggota kemudian menjalankan operasi pemadaman bersumberkan air dari tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
“Pemeriksaan lanjut dilakukan di lokasi kejadian bagi memastikan keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan pada pukul 7.23 pagi,” katanya. – UTUSAN