Barista jalanan Pod Koffee tarik perhatian - Utusan Malaysia

Barista jalanan Pod Koffee tarik perhatian

SEORANG pemuda, Mohd. Sabirin Hassan,39, mengambil pendekatan berbeza dengan mengusahakan jualan kopi secara bergerak atau ‘mobile coffee’ menerusi perniagaan Pod Koffee di sebelah gerai Rumi's Shawarma di Guar Sanji, Arau, Perlis semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kedai atau kafe kopi ‘hipster’ bagaikan cendawan tumbuh di negeri ini dengan rata-rata pengusaha mengetengahkan pelbagai konsep dalam usaha menarik pengunjung.

Namun bagi seorang pemuda, Mohd. Sabirin Hassan,39, dari Tambun Tulang di sini, dia mengambil pendekatan berbeza dengan mengusahakan jualan kopi tersebut secara bergerak atau ‘mobile coffee’.

Menerusi sebuah van lama yang dihias cantik, Mohd. Sabirin yang mengusahakan perniagaan dikenali Pod Koffee itu, ketika ini, beroperasi di sebelah gerai Rumi’s Shawarma di Guar Sanji pada hari Jumaat dari pukul 6 petang sehingga 10.30 malam serta di denai larian Pengkalan Asam pada hari Sabtu dan Ahad dari pukul 7.30 pagi sehingga 2.30 petang.

Dikenali sebagai barista jalanan itu, bapa kepada tiga orang anak berumur dua sehingga lapan tahun itu berkata, pada masa ini, dia hanya menjalankan perniagaan pada hari Jumaat sehingga Ahad di dua lokasi tersebut.

Katanya, dia menjadikan bahagian belakang van tersebut untuk proses membancuh kopi dan menyediakan kerusi dan meja kecil ‘healing’ untuk pelanggan menikmati minuman berkenaan secara santai di tepi jalan.

Ujarnya, antara kopi premium yang disediakan seperti Americano, Latte, Cappucino, Caramel Latte, Caramel Machiato, Mocha dan pelbagai lagi dengan harga serendah RM5 sehingga RM10.

“Meskipun baru tiga bulan beroperasi namun perniagaan tersebut mendapat sambutan agak baik dengan lebih 40 cawan terjual sehari dengan pendapatan pula sekitar RM300.

“Saya menampilkan sedikit kelainan dengan menjalankan perniagaan kopi secara bergerak
ini apabila sudah banyak kedai atau kafe kopi di Perlis ini,” katanya.

Tambahnya, pada peringkat permulaan menjalankan perniagaan tersebut, dia mengeluarkan modal sekitar RM10,000 untuk kelengkapan seperti mesin kopi dan lain-lain.

“Meskipun hanya berniaga di tepi jalan, namun masih ramai peminat-peminat kopi ini singgah untuk menikmati minuman tersebut. Pelanggan lebih selesa menikmati minuman secara santai di tepi jalan ini.

“Selain di dua lokasi tersebut, saya juga bergerak menyertai ‘event’ atau acara di sekitar Perlis. Alhamdulilah, sambutan di setiap kali acara tersebut juga sangat mengalakkan sekali gus membantu saya menambah pendapatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya