Bapa jumpa anak lelaki mati terkena renjatan elektrik - Utusan Malaysia

Bapa jumpa anak lelaki mati terkena renjatan elektrik

ZAIDIR Zahib menunjukkan gambar anak lelakinya, Muhammad Zai Hisham yang meninggal dunia disyaki terkena renjatan elektrik di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa tergamam apabila menjumpai anak lelakinya mati disyaki terkena renjatan elektrik di atas bot di muara Sungai Marang dekat Kampung Seberang Marang, pagi tadi.

Zaidir Zahib, 51, yang bekerja sebagai nelayan berkata, dia pergi ke lokasi kejadian pada pukul 8.30 pagi bagi memeriksa kerja-kerja pembaikian bot yang dibuat mangsa sejak tengah malam tadi.

Namun menurut Zaidir, dia terkejut setelah anak kedua daripada lima beradik itu, Muhammad Zai Hisham, 25, dijumpai dalam keadaan menyayat hati dan sudah tidak bernyawa dipercayai terkena renjatan elektrik.

Lelaki itu menjelaskan, pada awalnya dia menyangkakan anak lelakinya sedang tidur kerana keadaan sunyi sepi serta keadaan bot yang masih terbengkalai.

“Mangsa sudah bekerja dengan saya sebagai nelayan sejak habis persekolahan kira-kira hampir 10 tahun lalu dan semalam memang kami baru balik daripada menangkap ikan di tengah laut.

“Kami sempat keluar makan malam dan memandangkan bot mengalami masalah kipas, mangsa menyuruh saya pulang kerana sudah lewat dan dia mahu membaiki bot berkenaan.

“Saya pulang ke rumah di Kelulut sekitar pukul 2 pagi dan apabila datang pagi tadi, saya terkejut Muhammad Zai Hisham sudah keras terkaku manakala arus elektrik masih terasa di atas bot.

“Saya syak dia menyentuh suis lampu dalam keadaan basah selepas turun ke sungai kerana saya juga pernah membuat kerja pembaikian itu,” katanya di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini, hari ini.

Zaidir menjelaskan, mereka biasanya akan membaiki kerosakan bot bersama-sama tetapi dia pulang semula ke rumah selepas disuruh anak lelakinya itu yang tinggal di Menerong dekat Ajil, Hulu Terengganu.

“Saya segera mematikan suis lampu serta mengalihkan wayar di atas bot untuk memeriksa keadaan anak saya namun dia sudah tidak bernyawa lalu saya menelefon ambulans,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Razman Setapa ketika dihubungi mengesahkan kejadian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya