Banjir: Ujian mendengar BM, BI SPM berjalan lancar - Utusan Malaysia

Banjir: Ujian mendengar BM, BI SPM berjalan lancar

KEADAAN sebuah sekolah dipenuhi lumpur akibat banjir di Hulu Dungun, Dungun, Terengganu. - GAMBAR HIASAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ujian mendengar Bahasa Melayu (BM) dan Bahasa Inggeris (BI) untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Terengganu hari ini berjalan lancar walaupun satu daerah masih terjejas banjir gelombang keempat ketika ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, hanya satu sekolah masih dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Pulut di daerah Dungun.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah mangsa banjir yang berpindah kira-kira 34 orang dan bangunan yang dijadikan PPS itu juga terletak agak jauh dari dewan peperiksaan sekolah tersebut.

“Semuanya (ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris) berjalan lancar tanpa sebarang halangan pagi ini.

“Jabatan akan terus memantau situasi semasa banjir dan berharap keadaan akan kembali pulih seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengikut takwim peperiksaan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Malaysia, SPM dimulakan dengan Ujian Amali Sains pada 5 hingga 7 Disember 2023 diikuti ujian bertutur Bahasa Melayu (8 hingga 11 Januari 2024) dan ujian bertutur Bahasa Inggeris (17 hingga 23 Januari 2024).

Ujian bertulis SPM pula akan bermula esok dengan peperiksaan terakhir adalah pada 7 Mac depan.

Mengulas lanjut, Jelani berkata, JPNT sudah mengarahkan semua Pejabat Pendidikan Daerah yang terlibat bersiap siaga untuk menggerakkan Ops Payung sekiranya banjir melanda sepanjang SPM berlangsung.

“Ops Payung akan digerakkan sekiranya berlaku tiga situasi banjir hasil perbincangan yang diadakan dengan pelbagai jabatan dan agensi sebelum ini.

“Kita sentiasa pantau dan sedia dengan sebarang kemungkinan memandangkan Monsun Timur Laut di Terengganu masih belum berakhir,” katanya.

Pada tahun ini, seramai 18,492 calon SPM telah berdaftar dengan JPNT untuk menduduki peperiksaan itu di 176 pusat peperiksaan seluruh Terengganu.

Daripada jumlah tersebut, seramai 3,420 calon adalah di daerah Kuala Terengganu diikuti 3,005 calon di Besut, Kemaman (2,827 calon), Kuala Nerus (2,615) dan Dungun (2,284 calon).

Selain itu, seramai 1,742 calon berdaftar di daerah Marang diikuti 1,469 calon di Hulu Terengganu dan 1,130 calon di Setiu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya