DUNGUN: Banjir buruk yang melanda Kampung Shukor dan Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun dekat sini diibaratkan penduduk seperti tsunami kecil apabila kepala air dari Sungai Hulu Dungun naik mendadak dan melimpah ke kampung tersebut.
Rata-rata penduduk yang ditemui berkata banjir terbesar dalam tempoh lebih 50 tahun itu menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda dan kebanyakan rumah hanya tinggal bumbung.
Tinjauan di sekitar kampung itu mendapati, banjir yang membawa lumpur tebal tersebut turut menyebabkan tiga rumah penduduk hanyut dan sebuah rumah hanya tinggal tiang batu dan tangga.
Selain itu, banyak kenderaan penduduk yang diletakkan di lokasi tinggi turut ditenggelami air.
Salah seorang penduduk Kampung Shukor, Tengku Mohd. Zulkurnain Tengku Man, 58, berkata arus deras menyebabkan anjung rumahnya runtuh.
“Ketika kejadian, saya sedang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana bertugas sebagai anggota Rela dan ketika itu saya sedang bersama petugas lain menguruskan pemindahan mangsa di pusat tersebut ke kawasan lebih selamat.
“Air naik mendadak. Kami tak sempat buat apa-apa dan hanya fikir mahu selamatkan nyawa penduduk. Saya hanta tahu anjung rumah runtuh selepas dihubungi rakan, namun saya tak sempat buat apa-apa sebab arus sangat laju,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tengku Mohd. Zulkurnain berkata, rumah anak lelakinya yang sedang dalam pembinaan dan hampir 70 peratus siap turut dihanyutkan arus.
“Memang sedih bila lihat keadaan rumah dan kampung kami, namun kami tak dapat buat apa-apa. Ujian ini memang sangat berat buat kami,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Tengku Kamsiah Tengku Muda, 54, berkata dia yang tinggal di Kampung Shukor sejak 50 tahun lalu pertama kali berpindah berikutan hampir rumahnya ditenggelami banjir hingga paras bumbung.
“Saya duduk rumah dua tingkat. Saya tak pernah pindah walaupun banjir besar pada 2014, namun kali ini saya terpaksa pindah sebab tingkat atas rumah saya turut dimasuki air.
“Air banjir sangat deras. Saya trauma sebab tak pernah tengok air begitu tinggi. Semalam saya dan keluarga hanya melarikan diri, sehelai sepinggang,” katanya.
Tengku Kamsiah berkata, banjir tersebut turut menyebabkan dinding dapur dan dua buah bilik tidur di rumahnya turut tercabut. – UTUSAN