JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih apabila hanya tinggal sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi di Segamat, setakat pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, seramai 25 penduduk daripada lapan keluarga masih ditempatkan di PPS terbabit.
“Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih setelah sebuah PPS di Dewan Komuniti Kampung Tasek, Jementah ditutup pada pukul 5 petang semalam.
“Kini tinggal hanya PPS Balai Taya Kampung Batu Badak yang menempatkan seramai 25 penduduk Kampung Seberang Batu Badak yang belum dibenarkan pulang sejak 28 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Dalam perkembangan berasingan, Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri memberitahu, jalan masuk ke Kampung Orang Asli Peta masih terputus hubungan disebabkan banjir.
“Keadaan cuaca di negeri ini juga dalam keadaan baik setelah tidak ada amaran ribut petir atau hujan lebat berterusan di semua daerah.
Walau bagaimanapun, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor memaklumkan Sungai Muar di Buloh Kasap dan Sungai Siku di Kampung Murni Jaya berada pada paras waspada. – UTUSAN