PETALING JAYA: Pelakon, Elvina Mohamad berang apabila pembantu rumahnya melarikan diri dengan membawa sejumlah wang dan telefon bimbit anaknya.
Malah, pembantu rumah warganegara Indonesia itu juga tergamak meninggalkan anak lelaki Elvina yang berusia sembilan bulan seorang diri di rumah ketika melarikan diri.
“18/1/2024 pembantu rumah saya lari tinggalkan anak lelaki umur sembilan bulan seorang diri. Dia bawa lari sejumlah wang dan juga iphone anak kami. Mungkin ada lagi barang lain, kami masih belum periksa.
“Baru-baru ini, dia cakap dia tak pernah sambut ulang tahun, tak pernah ada kek. Saya dan suami walaupun sibuk kerja, balik juga belikan kek dan tempahkan makanan apa yang dia teringin nak makan.
Dia sampai menangis terharu dan siap minta belikan telefon bimbit kerana telefonnya dah nak rosak. Kesimpulannya, baiklah macam mana pun kalau dah pembantu rumah Indonesia ini akan tetap buat perangai. Haihhh geramnya lah!” katanya.
Elvina mendedahkan kejadian tersebut menerusi satu hantaran di media sosialnya.
Dalam pada itu, pelakon Takdir Yang Tertulis itu memaklumkan, pembantu rumahnya itu juga selalu curi tulang namun kerap memberi alasan apabila ditegur.
Tidak cukup itu, dia juga kerap menggunakan kisah sedih sebagai cara untuk mendapatkan perhatian dan hadiah daripada Elvina serta suami.
“Kerja rumah lain semua bibik seorang lagi buat jadi tak berat pun kerja dia. Bila kita tiada di rumah rupanya dia duduk bertiktok, karaoke dan main telefon. Anak kita dibiarkan sendiri.
“Bila call tegur baru dia buat-buat macam ada kerja tapi mata jeling pandang CCTV. Awal kerja hari itu dia buat cerita sedih katanya anaknya di kampung tiada telefon nak call susah.
“Suami saya pun bagi duit suruh anak dia beli telefon supaya boleh dia boleh video call. Kita pun faham dorang mesti rindu kerja jauh-jauh macam ini. Tapi tetap buat perangai,” ujarnya. – UTUSAN