Badan penarafan tunggal program TVET diwujud tahun ini

Badan penarafan tunggal program TVET diwujud tahun ini – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara di Bangunan Perdana Putra Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mewujudkan sebuah badan penarafan tunggal program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada tahun ini bagi menyeragamkan kualiti program berkenaan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelaksanaan badan penarafan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

“Penarafan tunggal program TVET ini untuk menyesuaikan semua kursus-kursus TVET berdasarkan kepada permintaan pemain industri. Ertinya, kita mahu elak ketidakjajaran kursus-kursus yang tidak bersesuaian dengan keperluan dan kehendak industri.

“Kita tumpu kepada kursus berteknologi tinggi seperti AI (kecerdasan pintar), bidang ICT (teknologi komunikasi maklumat) yang melibatkan teknologi futuristik termasuk EV (kenderaan elektrik),” katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara Bil. 1/2024 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pengiktirafan profesional kepada graduan TVET bakal membuka lebih banyak peluang kepada majikan di sektor awam dan swasta untuk menawarkan pakej pekerjaan yang selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa golongan tersebut.

Jelas beliau, Lembaga Teknologis Malaysia akan berterusan membantu dan menyokong untuk memperkukuhkan ekosistem TVET negara dalam memastikan perkhidmatan teknologi dan teknikal yang diberikan oleh graduan TVET adalah mengikut standard bertepatan dengan keperluan industri.

“Apa yang diharapkan dari pengiktirafan tersebut adalah peningkatan tahap gaji yang diterima oleh lepasan TVET bersesuaian dengan nilai tambah yang dilakukan institusi-institusi TVET ini,” ujarnya.

Tambah Ahmad Zahid, dalam usaha untuk terus memperkasa TVET dalam bidang pertanian dan perladangan, beberapa institusi TVET yang terpilih bakal memperkenalkan kursus ‘harvester’ (kutip buah kelapa sawit) untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam bidang tersebut.

Beliau berkata, Majlis TVET Negara turut bersetuju untuk memberi ruang penyertaan ke program TVET seawal lepasan Tingkatan 3 kepada pelajar-pelajar sekolah bagi mengatasi masalah keciciran bermula pengambilan Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya