PUTRAJAYA: Tanpa sokongan pihak-pihak yang akan melaksanakan setiap keputusan yang dibuat oleh mahkamah, setiap penghakiman akan menjadi lebih `murah’ daripada nilai kertas yang digunakan untuk mencetak keputusan tersebut.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, berbeza dengan tanggapan awam, para hakim sebenarnya tidak mempunyai kuasa yang banyak.
“Sebagai contoh dalam kes jenayah, selepas mengambil kira kesemua fakta, hakim akan mempunyai sabitan dan menjatuhi hukuman. Tetapi siapa yang akan memastikan hukuman tersebut dijalankan? Siapa yang akan menguatkuasakan hukuman sekiranya tertuduh gagal membayar denda?
“Ini menunjukkan bahawa boleh mahkamah berkuasa dan tidak berkuasa pada masa yang sama. Tanpa sokongan mereka yang akan menyokong dan melaksanakan hukuman atau penghakiman mahkamah, keputusan tersebut hanyalah satu deklarasi sabitan salah tanpa sebarang kesan.
“Sehubungan itu, keyakinan masyarakat terhadap Badan Kehakiman lebih bermakna buat institusi tersebut berbanding keyakinan terhadap hakim tertentu kerana sebagai manusia biasa, para hakim juga takut membuat keputusan yang salah,” kata Tengku Maimun.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Putrajaya di sini hari ini.
Tengku Maimun dalam ucapannya turut menyatakan, para hakim membuat sesuatu keputusan berdasarkan fakta dan undang-undang semata-mata.
Ujarnya, tidak seperti ahli politik, para hakim tidak akan menjawab atau terikat dengan kemahuan politik atau untuk mencari populariti.
“Seseorang hakim perlu menjadi perantara bebas perundangan di antara negara serta rakyatnya dan sebaliknya. Kesetiaan mereka (para hakim) jelas dinyatakan dalam sumpah setia yang dibuat bagi menjaga, memelihara dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
“Keyakinan awam dan populariti walaupun berkaitan ia bukanlah perkara yang sama. Institusi kehakiman yang popular secara amnya menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap badan itu.
“Namun pada pandangan saya, keyakinan awam terhadap badan kehakiman adalah kayu pengukur bagi para hakim untuk terus telus dan bertanggungjawab terhadap orang awam. Popular hanyalah kesan sampingan kepada kekuatan keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman,”ujar Tengku Maimun.
Tambahnya, setelah dilantik memegang jawatan, asas kuasa seseorang hakim ialah kepercayaan dan keyakinan dalam menjalankan tugas.
Badan kehakiman juga perlu sentiasa sedar akan fakta bahawa mereka merupakan pendukung dan pelaksana Perlembagaan Persekutuan bagi kepentingan awam. – UTUSAN