IPOH: Anggota kumpulan Senario, Azlee Jaafar mengubat rindunya apabila menziarahi pusara sahabat Senario, Hamdan Ramli dengan ditemani ahli keluarga Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Tambun di sini hari ini.
Azlee kelihatan sebak serta berlinang air mata, dan tidak ketinggalan untuk turut sama membersihkan kubur arwah bagi dilakukan pemasangan kepuk.
Bercakap kepada pemberita, beliau berkata, kesemua anggota Senario seperti adik-beradik dan mahu hubungan erat itu berkekalan termasuk dengan waris setiap ahli-ahli kumpulan pelawak tersebut.
Setelah 27 tahun bersama katanya, hubungan terjalin sangat erat dan sekiranya ahli keluarga Hamdan berdepan masalah setiap anggota Senario akan sedia cuba membantu.
Beliau berkata, semua ahli Senario masih terasa kehilangan rakan karib mereka itu yang menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu di Johor Bahru, setelah ditidurkan sejak 31 Disember sewaktu dirawat akibat komplikasi buah pinggang.
“Masa kami dapat tahu yang arwah sudah tiada, semua kami down (terkesan). Kami reda. Bila Allah ambil seseorang itu, Allah sayang makhluk ciptaan-Nya. Kena pula dia pergi pada hari Jumaat, penghulu segala hari.
“Kami rasa dia pergi terlalu awal, pada usia 54 tahun. Pergi meninggalkan kami kumpulan Senario sedangkan kami banyak perancangan yang diaturkan. Tetapi Allah Maha Mengetahui segala-galanya,” katanya.
Jelas Azlee, perjalanan kumpulan pelawak itu akan diteruskan termasuk dengan filem Senario Legend yang dijangka memulakan penggambaran pada pertengahan tahun ini yang sepatutnya membabitkan Hamdan.
Pada masa sama, beliau lega kerana ramai pihak sudi membantu ahli keluarga rakannya itu termasuk Yayasan Kebajikan Artis Tanahair, diketuai Datuk DJ Dave yang telah menghubunginnya untuk memberi sumbangan kepada waris Hamdan.
Katanya lagi, pemasangan papan sementara sebelum binaan pusara yang dibuat hari ini juga adalah disumbangkan oleh Baharudin Hassan yang merupakan kenalan rapat beliau dan anggota Senario. – UTUSAN