Atasi kebocoran, PBAPP bakal pasang dua paip baharu  - Utusan Malaysia

Atasi kebocoran, PBAPP bakal pasang dua paip baharu 

CHOW Kon Yeow menandatangani plak perasmian Love Penang Hill di Air Itam, Pulau Pinang, hari ini. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan memasang dua paip baharu bagi penyelesaian jangka masa sederhana susulan satu lagi kebocoran dikesan di saluran paip bawah air di Sungai Perai semalam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pemasangan dua paip itu akan menggantikan paip asal buat sementara waktu melibatkan jarak lencongan sejauh kira-kira 500 meter.

Katanya, paip lama yang bocor itu sudah berada di dasar sungai lebih 30 tahun lalu dan sudah tidak dapat diperbaiki lagi.

“Ada konkrit yang sudah terkeluar di beberapa bahagian paip menyebabkan kebocoran dan kali ini, kedua-dua paip baharu akan dipasang di bahagian atas Sungai Perai.

“Kerja-kerja lencongan paip merentasi jambatan Ampang Jajar ini akan dimulakan sebaik sahaja mendapat kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan papan tanda ‘Love Penang Hill’ di Bukit Bendera, Air Itam, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menjangkakan pembinaan lencongan terbabit tidak akan mengganggu kawasan yang terkesan dengan masalah bekalan air ketika ini.

“Kita akan terus salurkan bekalan air dengan mengurangkan tekanan supaya ia dapat disalurkan ke bahagian pulau khususnya kawasan Barat Daya dan sebahagian Timur Laut serta selatan Teluk Kumbar.

“Kita akan terus melaksanakan pemantauan dan para penyelam berpengalaman juga bersiap sedia untuk menjalankan kerja-kerja membalut bahagian yang bocor mengikut keperluan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, lebih 10,000 pengguna di daerah Barat Daya masih terjejas susulan gangguan air berjadual yang dijangka pulih sepenuhnya pada 6 pagi esok.

“Pasukan lori tangki digerakkan secara optimum sejak kelmarin, malah wakil rakyat setempat turut turun padang memantau perkembangan semasa bagi memastikan tangki statik dan tangki fleksi diisi air.

“Setakat ini, kawasan daerah Barat Daya sudah pulih 88 peratus dan usaha pemulihan akan diteruskan sepanjang hari untuk memastikan pengguna terkesan menerima bekalan air dengan kadar ditetapkan sebelum ini,” katanya.

Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 6 pagi Rabu lepas, namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.

Sebanyak 157 kawasan membabitkan SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau pula akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya