PORT DICKSON: Keberanian seorang anggota tentera terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang untuk menyelamatkan dua individu,15 Januari lalu mendapat penghargaan bermakna apabila anggota tentera berkenaan, Koperal Mazlan Abdul Rahman, 35, dinaikkan pangkat kepada Sarjan berkuatkuasa hari ini.
Majlis penganugerahan berkenaan disaksikan sendiri oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.
Bahkan, beliau turut dianugerahkan lambang tertinggi keberanian warga Tentera Darat Malaysia (TDM) Pisau Tentera Darat, menerima Sijil Penghargaan Khas di atas keberanian luar biasa yang dipamerkan dan sumbangan peribadi daripada PTD.
Muhammad Hafizuddeain berkata, pihaknya mahu menjadikan Mazlan sebagai ikon bukan hanya disebabkan keberanian yang ditonjolkan, namun, tindakan terpuji bagi membantu di saat memerlukan.
“Beliau (Mazlan) lakukan tindakan berani. Ini merupakan satu contoh Etos Kepahlawanan dan ini terhasil daripada latihan yang dijalani selama ini. Kita nak jadikan beliau sebagai ikon yang jadi idola kepada anggota tentera darat.
“Ini bukan kali pertama kita (anggota tentera) terlibat dalam aktiviti menyelamat. Sebelum ini pada tahun 2015, anggota tentera menyelamatkan mangsa yang hanyut dalam kenderaan di Pahang,” katanya sempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di Pusasda, di sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan seramai 1,436 perajurit muda diraikan selepas tamat latihan asas ketenteraan selama enam bulan.
Muhammad Hafizuddeain berkata, penyertaan golongan bukan bumiputera masih lagi di tahap yang rendah iaitu di bawah tiga peratus dan akan melaksanakan usaha berterusan bagi menarik minat golongan tersebut dengan kolobrasi pelbagai agensi.
Malah menurutnya, pada tahun hadapan pihaknya akan mencari lebih ramai perajurit muda dengan keputusan diploma dan ke atas bagi memperoleh sumber modal insan lebih intelektual.
Sementara itu, Mazlan meluahkan rasa kesyukurannya diberikan penghargaan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat kerana dia tidak mengharapkan sebarang balasan terhadap tindakannya menyelamatkan dua individu tersebut.
Menurutnya, pada masa berkenaan, dia berasa bertanggungjawab untuk menyelamatkan individu lemas itu dan dengan izin Allah serta bantuan daripada pihak Maritim, bomba, dia berjaya menyelamatkan mangsa.
“Masa terjun itu tak fikir apa-apa tapi nyawa milik Allah. Mak saya selalu pesan hafal surah al-Mulk jadi kamu tidak akan takut untuk kematian. Saya tak kenal siapa kat bawah (lemas), dengan kursus serta pengalaman yang ada dan izin Allah saya berjaya menyelamatkan mereka,” katanya.
Menurutnya yang sudah 14 tahun berkhidmat dalam pasukan tentera, beliau berharap agar setiap anggota tentera dapat menghulurkan bantuan tanpa kepada individu yang memerlukan pertolongan tanpa mengira bangsa. – UTUSAN
–