KUALA LUMPUR: Penyanyi, Asád Motawh menjadi perhatian segelintir warganet selepas kenyataannya berkaitan pembaziran masa jika ke sekolah tular sehingga mencetuskan kemarahan umum.
Asad atau As’ad Ahmad Muhammad Motawh dalam satu temubual yang dimuat naik di TikTok berkata, dia tidak melihat keselarian dalam pekerjaan yang dilakukan sekarang dengan apa yang dipelajari di sekolah sebelum ini.
“Bagi saya sendiri, ketika saya masih di usia muda, dari segala aspek yang saya lakukan ketika ini, kebanyakan masa yang diluangkan di sekolah adalah membuang masa sebenarnya. Secara jujurnya.
“Benda yang saya belajar di sekolah dan apa yang saya buat sekarang, tiada kaitan. Saya mahu berhenti sekolah dan mula belajar di rumah. Saya ketika itu juga sudah membina kerjaya sendiri juga.
“Saya ada 300,000 pengikut di Instagram ketika itu dan saya tahu bagaimana mahu buat duit dengan menyanyi. Tetapi bergantung kepada apa yang anda mahu buat dalam hidup. Saya faham, tak semua berjaya,” ujarnya.
Asád dalam video sama juga berkata, sistem persekolahan perlu diubah terutama era modenisasi yang semakin pesat membangun menjadikan anak muda lebih ke hadapan dan terbuka dengan pelbagai cabang fikiran berbeza.
“Sistem persekolahan sebenarnya boleh diubah. Kita hidup di dalam dunia moden di mana segalanya sentiasa berubah tetapi sistem persekolahan pula sentiasa sama sejak dari dulu.
“Memetik kata-kata seseorang, sekolah ini dicipta untuk melahirkan generasi pekerja. Tetapi saya sendiri, tak minat sistem bersekolah itu. Tak minat sangat. Tetapi jangan pula anda semua berhenti sekolah.
“Sebab itu secara peribadi, saya ada pilihan sama ada nak meneruskan belajar sepenuh masa atau belajar separuh masa, di rumah buat homeschool, sambil membina karier saya. Jadi saya sudah ada pilihan,” ujarnya.
Kenyataan tersebut mengundang kecaman segelintir warganet yang risau ramai anak muda mengambil serius dengan tindakan tersebut dan melupakan hasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Rata-rata menganggap temubual yang bernaratif sedemikian tidak seharusnya dimuat naik dan boleh membawa pengaruh tertentu terutama kepada pelajar muda yang mungkin tidak faham secara total pandangan yang dilontarkan.-UTUSAN