Apa salah MCA jadi hero rakyat? 

Apa salah MCA jadi hero rakyat? 

NEOW CHOO SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “MCA hero rakyat, memperjuang isu rakyat, apa salahnya?” 

Itu persoalan dibangkitkan Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong selepas Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji menyarankan MCA supaya tidak cuba menjadi hero. 

Choo Seong berkata, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang mula mencetuskan perbalahan antara MCA dan DAP selepas mendakwa parti itu agak ‘sesat’ kerana sering dilihat gemar menyerang Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. 

Malah, katanya, apa salah Presiden MCA. Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong bertanyakan soalan di dalam Parlimen dan membangkitkan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara. 

Menurutnya, apa yang disuarakan Ahli Parlimen Ayer Hitam itu adalah peringatan dan kritikan membina demi kepentingan rakyat.

“Sebagai pemimpin lama, Tengku Zulpuri Shah sepatutnya lebih arif dan boleh membezakan antara isu membabitkan kepentingan rakyat dan isu politik. 

“Setiap wakil rakyat yang digelar Yang Berhormat (YB) baik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen, perlulah menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin dalam membela rakyat. 

“Itu memang medan mereka bertanya soalan yang tepat dan berperlembagaan. Apabila seseorang YB bersuara sebagai jurucakap rakyat, ia tidak bermaksud YB tersebut bermain politik. Itu adalah tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan. 

Semalam, akhbar ini melaporkan, MCA disaran tidak cuba menjadi hero dengan mencari salah dan melakukan serangan secara terbuka terhadap Kabinet terutama pemimpin DAP. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tengku Zulpuri Shah berkata, pemimpin MCA perlu menghormati Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan hala tuju yang ditentukannya.

Kata beliau, MCA sepatutnya menyuarakan komen dan pandangan secara terus kepada BN memandangkan mereka adalah parti komponen dalam gabungan tersebut.

Mengulas lanjut, Choo Seong mengulangi pendirian parti itu dalam memainkan peranan untuk semak dan imbang dalam kerajaan. 

Justeru, katanya, kerajaan dan pemimpin yang berjiwa besar sepatutnya tahu membezakan teguran yang membina daripada serangan yang berniat jahat dan mengambil yang jernih sambil membuang yang keruh agar dapat terus menambaih baik urus tadbir demi kepentingan rakyat. 

Jelasnya, ia juga selaras dengan prinsip Kerajaan Malaysia Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

“Adakah Tengku Zulpuri Shah lupa bahawa YAB PMX amat menekankan soal tata kelola baik dalam pentadbiran kerajaan? 

“Melihat kepada cara Tengku Zulpuri Shah menjawab soalan wartawan, jelas menampakkan keangkuhan pemimpin DAP setelah mendapat kuasa, sehingga besar kepala dan langsung tidak boleh ditegur. 

“Adakah pemimpin DAP terlalu hebat dan maksum sehingga tak akan melakukan kesilapan? Kalau tak pernah buat silap, kenapa isu-isu yang dibangkitkan oleh Wee Ka Siong (aplikasi MyJPJ dan tambang penerbangan) akhirnya diperbetul serta ditambah baik oleh pihak yang berkenaan selepas Ahli Parlimen Ayer Hitam itu bersuara? 

“Belum lagi isu-isu lain yang dibangkitkan seperti isu KWSP, telur dan ayam, beras tempatan, sistem pendidikan serta banyak lagi,” katanya. 

Pada masa sama, Choo Seong mempersoal di mana hilangnya suara Tengku Zulpuri Shah apabila ada dalam kalangan pemimpin-pemimpin DAP yang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan atau mengeluarkan cadangan dan usul yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan nasional. 

Malah, beliau juga mempersoal apa pendirian dan di mana Tengku Zulpuri Shah apabila pelbagai isu berkaitan 3R (perkauman, agama dan institusi diraja) sering dimainkan oleh segelintir pemimpin DAP?

“Secara moralnya, adakah YB Zulpuri bersetuju dengan tindakan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian dan hubungan antara kaum di Malaysia? Adakah perbuatan itu boleh diterima sekiranya ia dilakukan oleh pemimpin DAP? 

“Nasihat saya kepada Zulpuri, belajarlah daripada bekas-bekas pemimpin DAP terdahulu seperti bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz; bekas Timbalan Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd Noor; Mohamad Razali Abdul Rahman dan Amran Ahmad.

“Kesemua mereka sedar bahawa DAP bukanlah parti yang benar-benar memperjuang isu rakyat, DAP bukan hero rakyat yang sebenar.

“Malah, lebih teruk, gemar memainkan sentimen agama serta perkauman semata-mata mahu meraih sokongan, tanpa menghiraukan kesan terhadap masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya