Apa niat pengarah teruskan adegan lucah? - Utusan Malaysia

Apa niat pengarah teruskan adegan lucah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pensyarah, Che Kem, gusar melihat adegan soft porn yang semakin kerap dipaparkan dalam naskhah produksi tempatan.

Sekiranya hal ini terus berlanjutan, Che Kem atau nama sebenarnya Mohd Kamarulzaman, khuatir sekiranya masyarakat akan menganggap adegan lucah sebagai sesuatu yang normal dan perlu ada dalam sesebuah drama.

“Persepsi manusia mudah berubah. Contohnya, dulu kita jarang melihat wanita memakai skirt pendek di kaca televisyen. Sekarang, akibat terlalu kerap dipaparkan, kita sudah menganggap ia perkara biasa.

“Hal yang sama juga dengan adegan lucah. Apabila kita biasa memaparkan adegan buka baju atau berpelukan, maka kita anggap ia perkara normal dan mesti ada dalam drama dan filem tempatan.

“Saya berpendapat perkara ini perlu dipantau dan pelakon perlu ada kesedaran untuk tolak cerita begini,” katanya yang ditemui di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, semalam.

Pelakon Lelaki Harapan Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 itu turut menyelar tindakan mana-mana pengarah yang menganggap adegan nakal dan lucah sebagai pelaris sesuatu naskhah.

“Jika mereka teruskan drama dengan unsur lucah kerana ada permintaan, itu bermaksud anda menjual sesuatu yang buruk. Apa niat sebenar anda, adakah ingin menghasilkan sesuatu bermanfaat atau sebaliknya?

“Seni memang subjektif, tapi kita juga mempunyai pilihan. Banyak lagi hal baik yang boleh dipilih. Janganlah menyalahgunakan lesen orang kreatif.

“Jika mahu buat adegan begitu, buatlah untuk diri sendiri dan janganlah dipaparkan di media untuk orang tengok. Kalau anda menganggap itu ‘realiti’, apa guna kreativiti?” katanya.

Terdahulu, kecoh di media sosial beberapa naskhah yang dihasilkan produksi tempatan mula memaparkan adegan soft porn seperti babak projek bawah meja menerusi drama Syurga Itu Bukan Mudah.

Selang beberapa minggu selepas itu, adegan buka zip baju dalam drama Rampas Cintaku 2 serta menarik tangan wanita ke dalam bilik air menerusi drama Layang-layang Perkahwinan juga dikritik penonton.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya