SELAYANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Al-Firdaus, Bandar Baru Selayang.
Perdana Menteri yang lengkap berbaju Melayu serta bersamping tiba kira-kira pukul 1.15 petang disambut pengurusan masjid serta jemaah.
Kira-kira 1,000 jemaah lain bersama Ahli Parlimen Tambun itu mendengar khutbah bertajuk ‘Kewajipan menjaga keluarga’ sebelum menunaikan solat jumaat.
Selesai solat, Anwar turut berkesempatan beramah mesra dan bergambar bersama jemaah serta kanak-kanak.
Bagaimanapun, percubaan pengamal media untuk menemu bual Anwar di perkarangan masjid tidak berjaya.
“Saya nak ke Institut Jantung Negara (IJN) kejap,” katanya ringkas.
Terdahulu, Anwar makn tengah hari bersama rakyat setempat di Medan Selera Bandar Baru Selayang. – UTUSAN