PETALING JAYA: Keputusan untuk menentukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah kehilangan majoriti ahli Parlimen perlu diputuskan di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, di bawah Perkara baharu 49A (1), (2), (3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan undang-undang Anti Lompat Parti tidak menyebut mengenai Akuan Bersumpah (SD) untuk menyatakan sokongan terhadap sesuatu pihak.
Bagaimanapun, menurut beliau, penggunaan SD telah berlaku di bawah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dalam dua keadaan berlainan untuk menentukan sama ada Perdana Menteri telah hilang sokongan di Parlimen.
“Keadaan pertama pada bulan Februari tahun 2020 selepas (bekas) Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletak jawatan. Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menggunakan SD ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk membuktikan beliau mendapat sokongan majoriti yang diperlukan di Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.
“Dalam keadaan itu, Agong telah bersetuju dan berpuas hati bahawa Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan yang mencukupi pada hemat baginda sesuai dengan Perkara 43(2) (a),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hassan berkata, dalam keadaan kedua iaitu di malam sebaik sahaja keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022, Muhyiddin bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang cuba menggunakan SD untuk menghadap Agong bagi membuktikan mempunyai majoriti cukup.
“Tetapi kali ini, Agong tidak memperkenankan untuk melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri hanya berdasarkan sokongan SD, sebaliknya baginda telah menasihatkan Muhyiddin dan Abdul Hadi dari PN (Perikatan Nasional) membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH (Pakatan Harapan) di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Maknanya kali kedua ini Agong enggan menggunakan kaedah SD. Sebaliknya baginda menjemput Anwar yang merupakan blok politik paling banyak ada ahli parlimen iaitu 82 orang untuk membentuk kerajaan pada masa sama dilantik sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Ulasnya lagi, pada 24 November 2022, Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan kemudian membentangkan usul undi percaya di Dewan Rakyat serta memenanginya dengan undian suara.
“Nyatalah Agong telah kembali mengguna pakai konvensyen Perlembagaan iaitu sama ada Perdana Menteri mempunyai cukup majoriti sokongan atau tidak, bukannya melalui cara SD tetapi melalui usul undi percaya atau undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
“Kesimpulannya semua pihak perlu merujuk Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan. Sama ada Anwar sudah hilang sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri hendaklah diputuskan di Dewan Rakyat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mendakwa PN sudah mempunyai jumlah SD yang mencukupi untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak memaklumkan secara terperinci termasuk mengenai jumlah SD yang diperoleh sebaliknya menunggu hari untuk ambil alih kerajaan. – UTUSAN