IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir ke Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak yang akan diadakan pada 28 Januari depan.
Beliau dijangka hadir atas kapasiti sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Ahli Parlimen Tambun serta Perdana Menteri yang kini mengetuai kerajaan Perpaduan peringkat Pusat.
Setiausaha PKR Perak, Mohd. Azlan Helmi berkata, konvensyen itu adalah bagi menunjukkan bahawa gabungan parti yang membentuk kerajaan kekal fokus untuk menyelesaikan isu-isu rakyat selepas setahun berkerjasama.
“Ada juga cubaan-cubaan di luar, gosip dan khabar angin seolah-olah kerajaan akan tumbang. Ini perkara yang tidak baik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir ke Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Tambun untuk mempromosikan kempen kerajaan negeri membantu rakyat mendaftar Pangkalan Data Utama (PADU) di sini hari ini.
Konvensyen Perpaduan Perak itu akan diadakan di Hotel Casuarina, Ipoh yang bakal dihadiri oleh ramai pemimpin kanan PH dan Barisan Nasional (BN).
Kerajaan Perpaduan Perak merupakan antara kerajaan negeri terawal dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, dengan menggabungkan PH yang menang 24 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala BN mempunyai sembilan kerusi.
Tambah Mohd. Azlan, pihaknya akan pastikan semua 24 Cabang PKR Perak menghantar perwakilan ke konvensyen tersebut.
Jelasnya, komitmen itu adalah sebagai sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan Perpaduan Perak yang diketuai Menteri Besar daripada BN, Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Kita juga hendak tunjukan tidak wujud tikam belakang dan sebagainya. Kita jujur dalam perjuangan kita, jujur dalam perjanjian kita. Kita bersatu padu dengan matlamat tidak lain tidak bukan hendak majukan negeri Perak,” katanya. – UTUSAN