Anwar akan terus petik ayat al-Quran, tapi rujuk Jakim dahulu

Anwar akan terus petik ayat al-Quran, tapi rujuk Jakim dahulu

ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Perjumpaan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan terus memetik ayat-ayat al-Quran berserta tafsiran dalam ucapannya selepas ini, namun akan merujuk Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) terlebih dahulu agar dapat mengelak daripada sebarang kontroversi.

Menurut Anwar, meskipun ucapannya berkaitan kisah Ashabul Kahfi yang dilontarkan sewaktu Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) terdahulu mencetuskan kritikan sesetengah pihak, beliau turut bersyukur kerana ia menimbulkan minat terutamanya dalam kalangan anak-anak muda untuk lebih banyak membaca serta menelaah.

“Itu saya anggap penting, nanti bulan-bulan lain saya baca pula ayat al-Quran lain dengan tafsir supaya menggalakkan ada perbahasan, tapi saya rujuk Jakim dahulu supaya elak daripada kontroversi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Jelas Anwar, kisah berkenaan juga dibincangkan secara panjang lebar serta meluas, dan perkara tersebut adalah sesuatu yang jarang sekali berlaku di masa lepas.

“Yang paling meluas adalah surah Kahfi (namun), ada baiknya kerana rakan-rakan Jakim tahu bahawa jarang sekali berlaku perbincangan tentang kupasan ayat-ayat al-Quran dan saya anggap ini satu perkembangan yang positif walaupun serangan terhadap saya itu saya anggap agak keterlaluan,” ujarnya.

Media pada 22 Disember lalu melaporkan, Anwar menegur tindakan segelintir pendakwah yang terburu-buru mengupas sesuatu isu yang disifatkan beliau lebih mengikut sentimen politik.

Perdana Menteri berkata, seharusnya pihak terbabit menyemak terlebih dulu fakta sebelum membuat sebarang penjelasan kepada orang ramai.

Dalam perkembangan berlainan, Anwar mahu program digital dapat dilaksana secara agresif serta drastik bagi mengelak Malaysia ketinggalan berbanding negara lain di masa akan datang.

Jelasnya, penubuhan Kementerian Digital juga adalah selaras dalam merealisasikan hasrat untuk memberi fokus dalam bidang berkenaan.

“Saya bentuk kementerian khas (Kementerian Digital) kerana saya tidak fikir Malaysia boleh bersaing dengan pantas, dengan tahap kelajuan yang dicapai oleh negara lain tanpa fokus dalam bidang digital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya