Angkat berat Kedah sasar lahir atlet ke Komanwel

Angkat berat Kedah sasar lahir atlet ke Komanwel

YAHAYA Sani (berdiri, lima dari kanan) bersalaman bersama Ismasuhaimi Shariff selepas diumumkan selaku Presiden baharu PABK dalam mesyuarat agung tahunan yang diadakan di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Angkat Berat Kedah (PABK) optimis untuk tidak hanya melahirkan atlet yang dapat menyumbang pingat pada Sukan Malaysia (Sukma), namun meletakkan sasaran agar badang kelahiran negeri itu turut berada dalam skuad kebangsaan ke kejohanan peringkat antarabangsa.

Presidennya, Yahaya Sani berkata, buat masa ini 16 atlet terdiri daripada lapan lelaki dan lapan wanita yang bernaung di bawah persatuan itu sedang membuat persiapan untuk menghadapi Sukma 2024 di Sarawak.

Katanya, tumpuan selepas itu sudah pasti terarah kepada persediaan Sukan Komanwel 2026 walaupun kejohanan berprestij itu belum diketahui status penganjurannya susulan penarikan diri Australia selaku tuan rumah.

“Persatuan ini tidak sehebat persatuan sukan lain tapi kita akan melahirkan atlet-atlet angkat berat yang mewakili Kedah bukan sahaja di Sukma tapi juga di peringkat antarabangsa seperti Komanwel.

“Untuk Sukma 2024 di Sarawak kelak, kita setakat ini giat berusaha untuk melahirkan atlet yang berkemampuan untuk bersaing di peringkat itu,” katanya selepas diumumkan selaku Presiden baharu PABK sesi 2024-2026 sempena mesyuarat agung tahunan di sini, semalam.

Yahaya yang pernah diamanahkan sebagai Timbalan Ketua Kontinjen Sukma Kedah pada 2018 menggantikan Ismasuhaimi Shariff yang mahu memberi tumpuan terhadap tanggungjawabnya selaku Bendahari Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM).

Sementara itu, ketika ditanya sasaran awal PABK pada Sukma Sarawak, Yahaya berkata, mereka menyasarkan untuk menyumbangkan sebanyak tiga pingat emas kepada kontinjen Kedah terutama dalam kategori 64 kilogram (kg) dan dua lagi kategori.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, mereka terus melakukan program pencarian bakat baharu atlet angkat berat di seluruh Kedah bagi melahirkan lebih ramai badang negara seperti Aznil Bidin yang meraih dua pingat emas pada Sukan Komanwel 2022.

“Kejayaan terbaru atlet angkat berat wanita Kedah iaitu Nur Syazwani Radzi, 20, menghadiahkan pingat gangsa dalam kategori 64kg di Sukan Sea Phnom Penh, Mei tahun lalu membuktikan negeri ini mempunyai ramai atlet berbakat dalam sukan tersebut.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengumumkan antara sukan wajib yang akan dipertandingkan pada Sukma 2024 adalah akuatik (renang dan terjun); angkat berat; badminton; berbasikal (trek dan lebuh raya); gimnastik (artistik dan gimrama); golf; lawan pedang; memanah; menembak; olahraga; pelayaran.

Temasya edisi ke-21 itu akan dilangsungkan di lapan bahagian di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri bagi memastikan kemeriahannya dapat dirasai rakyat di seluruh negeri kecuali acara basikal trek diadakan di Semenanjung. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya