Aneh, terasa dejavu menonton Pendekar Awang - Utusan Malaysia

Aneh, terasa dejavu menonton Pendekar Awang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DENGAN reputasi penerbit paling banyak buat duit untuk  filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (RM97 juta), sudah tentu ramai yang tidak sabar melihat prestasi naskhah kedua Studio Kembara, Pendekar Awang: Darah Indera Gajah sebagai pembuka panggung untuk naskhah tempatan 2024. 

Oh ya, sebelum itu, selamat tahun baharu diucapkan kepada pembaca. 

Seperti acara lari berganti-ganti, Pendekar Awang adalah baton yang bertukar tangan dari pengarah ke sutradara berbeza sebelum sampai ke garis penamat iaitu khalayak yang sudah menunggu di kerusi penonton di dalam panggung. 

HADIR TERCUNGAP-CUNGAP 

Naskhah Pendekar Awang dirasakan tiba dalam keadaan tercunggap-cungap, tidak cukup nafas selepas dicanai oleh tiga sutradara berbeza bermula dengan Areel Abu Bakar, kemudian Saiful Reza dan penulis skripnya sendiri, Shaharudin Mat Dali. 

Mungkin masing-masing mempunyai selera berbeza membuatkan beberapa bahagian  filem ini terasa tidak cukup memberi atau lebih tepat, tidak teradun dengan harmoni ketika dihidangkan kepada penonton. 

Baik, mari kita pergi lebih dalam aspek teknikaliti. Benar, memang ada paparan visual sinematik yang sungguh indah, cantik, seperti kabus memeluk rimbun pohon di hutan Pahang, juga matahari tenggelam ke perut bumi. 

Tahniah diucapkan. Namun di aspek lain, ada pula paparan visual dengan kesan imej janaan komputer yang keterlaluan, tidak cermat ala naskhah  filem animasi sebagai pembuka  filem ini. 

Tapi, apa yang jauh lebih mustahak dan sedikit mengecewakan saya adalah bagaimana aksi silat tidak disampaikan dengan adil di dalam  filem ini. 

Saya percaya, pengarah aksi, Actionflo Productions sudah buat yang terbaik melatih para pelakon. 

Namun cara aksi ini dirakam dan dipersembahkan dalam naskhah ini tidak cukup memberi perasaan menggugah, dramatik, berdebar dan marah seperti selayaknya. 

Terlalu banyak dialog, monolog dan tazkirah yang tidak perlu membunuh mood di tengah pertempuran. 

Sebagai orang yang sudah menonton kedua-dua naskhah Studio Kembara, beberapa bahagian dalam Pendekar Awang seperti kehabisan idea kerana hanya kitar semula babak dalam Mat Kilau seperti pergaduhan yang pasti sahaja terjadi di pasar. 

Juga pidato seorang wanita sebelum dibunuh di depan British. Semuanya terasa seperti bertemplate dan dejavu sekali. Jika dikenang, saya sangat menyukai lakonan Fattah Amin di  filem Mat Kilau, namun saya tidak rasa Fattah berjaya membawa aura gagah, karisma dan lagak seorang pahlawan sebagai Pendekar Awang. 

Namun saya harus memuji penampilan Nadhir Nasar, melakonkan karakter lelaki yang nampak kebudakan, beremosi namun bijak. Nadhir pandai memilih ekspresi, genangan air mata, sehingga keperitan dan dendam terbit di mata Tahir. 

KE PAWAGAM 11 JANUARI INI 

Struktur  filem ini jelas dari act 1 hingga act 3, iaitu cerita perjalanan menyelamatkan Tok Gajah ke Terengganu. Hanya pembahagian ceritanya bercempera di samping dialognya perlu diperbaiki. 

Saya sangat memuji dan menyokong penuh usaha Studio Kembara menampilkan  filem sejarah tanah air, (jika mahu dibawa keluar elok dijenamakan sebagai  filem aksi). 

Jika bukan Studio Kembara yang lakukan, siapa lagi? Jika mahu tunggu sempurna, tidak bergeraklah kita. 

Semoga di naskhah akan datang, kita akan dapat melihat kematangan dalam naskhah epik sejarah negara dengan alur dialog dan bahasa yang benar-benar mewakili zamannya. Ayuh! Ke pawagam 11 Januari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya