Anak syarikat 1MDB boleh soal ibu Jho Low berhubung barang kemas

Anak syarikat 1MDB boleh soal ibu Jho Low berhubung barang kemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memperoleh kebenaran untuk menyoal siasat ibu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung beberapa barangan kemas bernilai AS$1.695 juta diberikan anaknya itu yang disyaki dibeli menggunakan wang diseleweng daripada syarikat berkenaan.

Peguam, K. Siva Kumar yang mewakili 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited selaku plaintif ketika dihubungi media berkata, kebenaran tersebut diberikan oleh Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

“Mahkamah memberi kebenaran kepada kedua-dua plaintif untuk menjalankan interogatori (soal siasat) terhadap defendan keenam (Puan Sri Goh Gaik Ewe) dengan mengemukakan sembilan soalan secara bertulis manakala defendan  perlu menjawab soalan-soalan tersebut secara bertulis menerusi afidavit.

“Afidavit (jawapan kepada soalan-soalan tersebut) perlu difailkan di mahkamah dan diserahkan kepada peguam kedua-dua plaintif dalam tempoh 14 hari,” kata peguam itu.

Tambahnya, kegagalan menjawab soalan-soalan tersebut akan menyebabkan Gaik Ewe dihalang daripada membela diri pada prosiding saman, pembelaannya dibatalkan dan kedua-dua plaintif mempunyai kebebasan untuk memohon penghakiman terhadap wanita tersebut.

Sembilan soalan yang ditanya oleh kedua-dua anak syarikat itu antaranya ialah jenis barang kemas yang dibeli Jho Low, bila barangan tersebut diberikan dan adakah barang kemas tersebut telah dipindahkan ke Amerika Syarikat.

Notis permohonan interogatori difailkan dua anak syarikat 1MDB pada 27 Oktober 2023 bagi menuntut barang kemas yang dibeli dengan kos AS$1.695 juta menggunakan dana yang boleh dikesan oleh syarikat-syarikat itu.

Menurut notis berkenaan, memandangkan dokumen tentang kos tersebut tidak dinyatakan maka interogatori adalah relevan bagi memastikan mewujudkan barang kemas itu.

Pada 7 Mei 2021, 1MDB dan empat anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited dan Global Diversified Investment Company Limited yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman terhadap keenam-enam defendan itu.

Berdasarkan writ itu, 1MDB menuntut AS$661 juta daripada Jho Low dan masing-masing AS$41 juta, AS$397 juta, AS$608 juta dan AS$1.9 bilion daripada Jho Low dan Eric Tan serta AS$325 juta daripada Jho Low dan ayahnya.

1MDB Global Investments Limited pula menuntut AS$630 juta daripada Hock Peng, Jho Low dan Eric Tan serta AS$2 juta daripada Taek Szen, Jho Low dan Eric Tan.

Plaintif turut menuntut AS$3.5 juta daripada May Lin and Jho Low serta AS$1.695 juta daripada Goh, Jho Low dan Eric Tan berhubung pembelian barang kemas serta keuntungan rahsia selain AS$25.5 juta daripada Jho Low, Eric Tan, Hock Peng dan Taek Szen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya