Amir Ahnaf tidak kekok bersilat, belajar sejak sekolah - Utusan Malaysia

Amir Ahnaf tidak kekok bersilat, belajar sejak sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Pelakon, Amir Ahnaf, 23, mengakui, pengalamannya mempelajari seni silat sewaktu zaman persekolahan telah membawa tuah kepadanya sehingga dia ditawarkan peluang berlakon dalam filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah.

Menurut Amir, dia mempunyai kemahiran seni silat Cemara Bugis dan pengalamannya itu digunakan sehabis baik bagi menghidupkan watak Andak yang dibawakannya dalam filem tersebut.

“Sebelum ini saya pernah mempelajari seni silat sewaktu belajar di Maktab Rendah Sains Mara dulu. Saya belajar seni silat Cemara Bugis. Semestinya bunga dan buahnya berbeza sedikit.

“Berbekalkan pengalaman dan kemahiran itu, saya gunakan untuk mendalami watak Andak dalam Pendekar Awang,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Selain itu, kata Amir, walaupun menerima tawaran berlakon di saat akhir tetapi dia telah membuat persediaan rapi seperti turun ke gim selain mempelajari cara memanah dan menggunakan senjata.

“Saya dapat tawaran daripada pengarah Saiful Reza untuk watak Andak tiga hari sebelum penggambaran. Dia memang mencari seseorang yang boleh berlawan dan bertutur dalam loghat Terengganu.

“Saya sempat berlatih di gim serta melakukan kajian cara memanah dan memegang senjata sebelum betul-betul turun ke set penggambaran.

“Walaupun watak Andak tidak banyak namun saya gembira membawakannya kerana ia watak yang membuatkan saya boleh bertutur dalam loghat Terengganu. Ia dekat dengan jiwa saya,” tambahnya.

Filem Panglima Awang: Darah Indera Gajah yang mula ditayangkan pada hari ini mengisahkan mengenai kebangkitan pahlawan Pahang dalam usaha menyelamatkan Tok Gajah daripada penjajahan British.

Turut sama menjayakan filem ini ialah Fattah Amin, Fazura, Nadhir Nasar, Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Amir Ahnaf dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya