PUTRAJAYA: Pelakon, Amir Ahnaf, tampil memohon maaf kerana mencetuskan kemarahan masyarakat berhubung aksi lucah yang dilakonkannya menerusi sebuah drama baru-baru ini.
Menurut Amir, atau Muhammad Amir Ahnaf Mohd Khairudin, 23, dia maklum akan kecaman diterima dari warganet namun mengakui perlu bertanggungjawab untuk melunaskan tugas sebagai pelakon.
“Saya minta maaf tentang isu ini kerana menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.
“Naskhah seterusnya saya akan pilih yang terbaik dan yang lebih elok, insya-Allah.
“Bila isu itu tular, saya terima dengan seadanya sahaja. Malah saya akui berat hati untuk lakonkan babak itu,” katanya.
Amir ditemui di majlis tayangan perdana filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah di IOI Mall, Putrajaya hari ini.
Jelas Amir, dia sendiri tidak mengetahui babak tersebut wujud di dalam naskhah dan hanya mengetahuinya semasa penggambaran dijalankan.
“Waktu saya terima tawaran tersebut, saya belum dimaklumkan tentang jalan cerita drama tersebut.
“Skrip diterima selepas seminggu kontrak ditandatangani. Kemudian berlaku perubahan draf sepanjang penggambaran.
“Lagi pula saya orang baru jika mahu membantah sesuatu yang telah dipersetujui,” tambahnya.
Ditanya mengenai respons keluarga, Amir lega kerana ibu bapanya faham akan kerjayanya sebagai seorang pelakon.
“Saya dah tanya keluarga saya, dia okay. Mereka tahu ini kerja.
“Untuk penjelasan kepada penonton pula, ia hanya ‘cheat shoot’ (teknik kamera),” tambahnya.
Terdahulu, Amir mendapat kecaman berikutan melakonkan watak lucah dalam drama Syurga Itu Bukan Mudah.
Menerusi babak tersebut, muncul seorang wanita keluar dari bawah meja. Farid lakonan Amir kemudian berdiri dan membetulkan seluar.