PUTRAJAYA: Allahyarham Anisah Ali, pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang maut dirempuh tonto pada 2016 dinobatkan Anugerah Wirawati Kastam sempena sambutan Hari Kastam Sedunia 2024 hari ini.
Anugerah itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada suami arwah, Mohd Baharudin Hamid, 65.
Arwah yang ketika itu bertugas di JKDM Kelantan disahkan maut pada 8 Oktober 2016 akibat kecederaan dalaman.
Mohd Baharudin yang juga pesara JKDM ketika ditemui berkata, beliau akui sebak dengan anugerah diterima arwah biarpun sudah lapan tahun insiden menyayat hati itu berlaku.
“Setiap kali sebut nama dia, saya pasti rasa sebak. Saya berterima kasih kepada JKDM kerana masih lagi mengenang jasa arwah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, katanya, beliau sekeluarga masih berharap pihak berkuasa dapat membawa pelaku ke muka pengadilan.
“Saya akui sampai sekarang masih tertanya-tanya kesudahan kes ini. Saya pun tak tahu peringkat mana perkembangan siasatan kes ini,” katanya.
Katanya, kali terakhir dia dimaklumkan pihak polis belum dapat bukti untuk membuat pertuduhan dan kes juga belum ditutup.
Sementara itu, anak arwah Afiq Lukman Mohd Baharudin, 29, berkata, dia mahu inkues kematian arwah ibunya diadakan segera bagi merungkai punca dan dalang insiden itu termasuk menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat insiden itu kerana ia bukan kes kemalangan biasa, malah mungkin melibatkan tangan ghaib di peringkat atasan.
“Kami sekeluarga juga mahu suspek dibawa ke muka pengadilan. Adalah sangat tidak adil kepada keluarga saya kerana selepas lapan tahun, suspek belum dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Dalam kejadian 7 Oktober 2016, kenderaan dinaiki arwah bersama seorang lagi rakan sekerja dirempuh tonto di Kampung Banggol Chica, Pasir Mas, Kelantan ketika menyertai satu operasi membanteras aktiviti penyeludupan rokok seludup.
Ketika mengejar kenderaan suspek, kenderaan jabatan dinaiki arwah dirempuh tonto menyebabkan kenderaan dinaiki hilang kawalan dan melanggar pokok di bahu jalan. – UTUSAN