KUALA LUMPUR: Bintang Pendekar Awang: Darah Indera Gajah, Ali Karimi memaklumkan tidak merancang untuk menjadi pelakon sepenuh masa ekoran komitmennya sebagai kakitangan di sebuah hospital swasta di ibu negara.
Kata Ali, buat masa ini dia selesa bergelar pelakon sambilan yang hanya mempertimbangkan tawaran (lakonan) bergantung kepada kelapangan dan kesesuaian watak.
“Sebenarnya ada beberapa tawaran yang terpaksa saya tolak disebabkan percanggahan masa dengan jadual kerja hakiki saya.
“Ada juga tawaran yang say tolak disebabkan komitmen penuh saya kepada filem Pendekar Awang.
“Saya memang tidak merancang untuk menjadi pelakon sepenuh masa. Tapi saya tetap pertimbangkan kalau berkelapangan dan menerima watak bersesuaian,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media, baru-baru ini.
Ali yang membawa watak Brahim menerusi filem Mat Kilau dan Pendekar Awang berharap lakonanya dalam kedua-dua fielm tersebut tidak menghampakan penonton.
“Saya harap lakonan saya sampai. Kalau ‘kayu’, baik tak payah berlakon.
“Pada masa sama, saya juga berharap lakonan saya dapat meredakan persepsi yang kononnya saya diambil berlakon kerana status anak penerbit,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, filem Pendekar Awang merekodkan pencapaian positif apabila mengutip RM500,000 selepas 12 jam ditayangakan sejak 11 Januari lepas.
Berita gembira itu dikongsi penerbit, Studio Kembara menerusi Instagram rasminya baru-baru ini.