KUALA LUMPUR: Dituduh bercuti dengan lelaki sonsang, penyanyi dan pelakon, Khai Bahar meminta agar si pembuat cerita berhenti menyebarkan fitnah dan penghinaan terhadap dia dan rakan-rakannya.
Kata Khai, tindakan individu tidak bertanggungjawab itu hanya menyakitkan hatinya, lebih-lebih lagi dalam keadaan penyanyi itu yang baharu kehilangan ibu tercinta beberapa hari lepas.
“Biarlah kawan aku macam mana sekalipun, aku bukanlah baik sangat. Aku kenal kawan-kawan aku bukan semalam.
“Kita tak tahu pengakhiran kita macam mana, cukuplah Allah tutup aib kita masing-masing. Mak aku pernah pesan, jangan dendam dengan orang, solat jangan tinggal.
“Aku pun minta maaf kalau ada silap dekat engkau orang semua. Kalau tak suka aku sekalipun, jangan hina aku dan kawan-kawan aku,” tulisnya di Instagram.
Khai sebelum ini mendedahkan tindakan seorang pengguna TikTok yang mendakwa penyanyi itu berseronok bercuti di sebuah pulau dengan sekumpulan lelaki songsang.
Individu berkenaan turut menegur agar Khai berhenti bergaul dengan lelaki jenis itu kerana arwah ibunya mahukan yang terbaik untuknya.
Dalam masa yang sama, Khai juga memaklumkan sudah memaafkan individu terbabit dan berharap agar segala tindakan si pelaku dihentikan.
“Kalau tak boleh sokong aku, jangan caci-caci aku, kawan-kawan aku. Aku maafkan kau, dan aku juga minta maaf kepada sesiapa sahaja kalau aku pernah buat silap.
“Dosa aku dengan Allah, aku tanggung. Mungkin esok lusa aku sudah tiada baru kau boleh berhenti cari salah aku,” luahnya.