Akta Parlimen Berpenggal Tetap baik, tapi perlu lebih kajian - Anthony Loke - Utusan Malaysia

Akta Parlimen Berpenggal Tetap baik, tapi perlu lebih kajian – Anthony Loke

ANTHONY Loke (tengah) tekun mendengar penerangan mengenai projek pembangunan Kampung Manis di Perai susulan pemeteraian kerjasama antara RAC dan LPNPP, di Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Pelaksanaan Akta Parlimen Berpenggal Tetap secara prinsip disifatkan baik kerana dapat mengurangkan masalah atau isu-isu berkaitan politik dalam tempoh Akta Parlimen itu berlangsung.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, bagaimanapun, dari segi pelaksanaannya di negara ini, ia perlu dilihat secara lebih mendalam.

“Sistem Parlimen ini pernah dilaksanakan di UK (United Kingdom) sebelum ini dan apabila adanya sistem ini, dalam tempoh lima tahun itu, ia (Parlimen) tidak boleh dibubarkan sewenang-wenangnya.

“Maka, jika ada cadangan pembubaran Parlimen, ia perlu dibawa ke Dewan (Rakyat) untuk diputuskan oleh Ahli-Ahli Parlimen yang lain.

“Bagaimanapun, saya melihat perkara ini sebenarnya masih dalam kajian di peringkat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan saya yakin Datuk Seri Azalina (Othman Said) akan bawa cadangan ini ke Kabinet (selepas ini),” kata Anthony yang juga Menteri Pengangkutan.

Beliau ditemui pemberita selepas hadir menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) di Seberang Jaya, di sini hari ini.

ANTHONY Loke (tengah) bergambar kenangan bersama para hadirin pada majlis pemeteraian MoU antara RAC dan LPNPP di Seberang Jaya, Pulau Pinang, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyarankan satu rang undang-undang (RUU) berkaitan ‘fixed term parliament’ atau penetapan penggal Parlimen diwujudkan supaya pembentukan sesebuah kerajaan kekal sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum (PRU) diadakan.

Menurut Ahmad Zahid, saranan tersebut dibuat demi menjamin kestabilan negara supaya kerajaan tidak diganggu oleh percaturan ahli-ahli politik demi kepentingan dan agenda masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Anthony turut menyelar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempersoalkan kesetiaan masyarakat India di negara ini selain beberapa kenyataan sensitif yang dikeluarkan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini.

Anthony berkata, sebagai seorang pemimpin yang pernah bergelar negarawan, Dr. Mahathir tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Semasa beliau menjadi Perdana Menteri yang keempat dahulu, beliau pernah mencadangkan dan membawa satu visi yang bagi saya adalah cukup baik untuk menyatukan rakyat Malaysia iaitu Wawasan 2020 pada tahun 1991.

“Dalam visi itu, beliau telah gariskan wawasan tersebut untuk mewujudkan satu negara yang bersatu padu sekali gus membawa kepada pembentukan bangsa Malaysia itu sendiri.

“Ini beliau nyatakan sendiri dan itu visi dia. Tapi, kenyataannya baru-baru ini adalah bercanggah seolah-olah beliau sendiri telah lupa apa yang beliau hasratkan sebelum ini,” ujar beliau.

Sebelum ini, Dr. Mahathir dalam sebuah temubual eksklusif secara dalam talian dengan saluran TV satelit India, Thanthi TV, dilaporkan mendakwa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara ini kerana masih ‘terikat’ dengan negara asal mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya