SEPANG: Syarikat penerbangan kos rendah tempatan, AirAsia melancarkan promosi tambang rendah tetap penerbangan lewat malam bersempena Tahun Baharu Cina 2024 dengan menawarkan sejumlah 25,000 tempat duduk
Tempahan yang dibuka hari ini itu melibatkan tempoh perjalanan bermula 5 sehingga 15 Februari depan dengan melibatkan beberapa destinasi utama di Sabah dan Sarawak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya berbesar hati dengan usaha AirAsia terus konsisten menyokong inisiatif kerajaan meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.
Promosi kali ini menyaksikan tambang ditawarkan pada harga hanya RM298 sehala dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru menuju ke Kuching, Sibu, Bintulu atau Miri di Sarawak.
Sementara dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru yang menuju ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau pula, harga ditetapkan oleh operator udara berkenaan cuma RM348 sehala.
“AirAsia turut menyediakan 134 lagi penerbangan tambahan lewat malam pada tambang rendah tetap ke tujuh destinasi popular tersebut selain 408 penerbangan mingguan dengan tambang biasa ke Sabah, Sarawak dan Labuan sepanjang musim perayaan ini.
“Kerjasama sebegini adalah penting untuk pembangunan sektor penerbangan tempatan lebih kukuh dan dinamik serta memberi sumbangan kepada ekonomi negara,” katanya pada majlis peluncuran program itu di sini hari ini.
Beliau berharap agar usaha dilakukan AirAsia akan dapat diteruskan dan dicontohi syarikat-syarikat lain yang seterusnya membantu kesejahteraan rakyat ketika bercuti sekali gus memberikan prospek lebih baik kepada industri penerbangan awam. – UTUSAN