AIM catat 99.91 peratus bayar balik pinjaman dipuji

AIM catat 99.91 peratus bayar balik pinjaman dipuji

R. AMANAN bersama pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan 1,000 Sahabat Usahawan India di Bandar Sri Damansara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengurusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila mencatatkan peratusan bayaran balik pinjaman terbaik iaitu pada kadar 99.91 peratus pada tahun lalu.

Pencapaian tersebut dipuji oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan memandangkan agensi tersebut telah membantu ramai golongan wanita menjadi usahawan.

Melihat prestasi memberangsangkan itu, Ramanan mahu AIM membantu kerajaan dalam usaha memastikan lebih ramai golongan miskin dapat dikenal pasti dan dibantu melalui kepakaran dimiliki agensi tersebut dalam usaha menghapuskan kemiskinan di negara.

Bagaimanapun, beliau juga mahu AIM terus membantu Sahabat Usahawan sedia ada untuk terus berjaya dalam bidang diceburi masing-masing.

Terdahulu, Ramanan hadir dalam lawatan kerja ke ibu pejabat AIM di Bandar Sri Damansara dengan disambut oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Dr. Syed Hussian Syed Junid; Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz dan pengurusan kanan lain.

Kehadirannya juga disambut oleh 1,000 Sahabat Usahawan India yang hadir pada Himpunan Madani Sahabat Usahawan India AIM yang terdiri dari Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Dalam pada itu ketika sesi taklimat mengenai operasi AIM, Ramanan berkata, AIM wajar dijadikan contoh oleh agensi lain di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“AIM bukan hanya sebagai agensi penyedia pembiayaan mikro, AIM sudah ibarat sebuah keluarga besar yang begitu dekat dan akrab dengan Sahabat,” katanya.

Sejak ditubuhkan tahun 1987, AIM telah berjaya membantu ramai Sahabat Usahawan dan golongan miskin dengan menyediakan pembiayaan kredit mikro.

Sehingga kini, AIM mempunyai seramai 322,733 Sahabat Usahawan dengan mengusahakan pelbagai kegiatan ekonomi dari seluruh Malaysia. Daripada jumlah itu, seramai 6,404 terdiri daripada Sahabat yang berbangsa India.

Untuk rekod, pada tahun 2023 AIM telah meluluskan sebanyak RM2.57 bilion pembiayaan, dengan bilangan peminjam semasa seramai 322,733 dan mencatatkan Pinjaman Tidak Berbayar pada kadar 0.09 peratus.

Sejak 37 tahun penubuhannya, AIM telah meluluskan sebanyak RM32.52 bilion dengan jumlah pinjaman (kumulatif) sebanyak 968,321. Ia juga telah mencatatkan jumlah pendapatan isi rumah yang dibantu untuk keluar dari garis kemiskinan sebanyak 3,783,284. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya