PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada agensi tertentu di peringkat daerah dan negeri yang ‘pilih kasih’ dalam penyaluran bantuan mangsa banjir.
Justeru Timbalan Perdana Menteri itu memberikan amaran bahawa mereka sepatutnya bersikap adil dalam isu tersebut kerana ia merupakan dana pihak kerajaan Persekutuan.
“Saya berharap mereka ini mesti ‘buta warna’ dari segi pengagihan sebab kita dapat tahu pada tahun lepas ada berlaku hanya ‘warna tertentu’ dapat,” katanya dalam nada kesal.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas Taklimat Penyelarasan Situasi Terkini Banjir, di pejabatnya di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed.
Media akhir bulan lalu melaporkan keluhan ramai mangsa banjir di Kelantan yang kesal apabila nama mereka didapati ‘tercicir’ daripada senarai penerima bantuan wang ihsan.
Penduduk terbabit mendakwa langsung tidak mendapat bantuan tunai RM1,000 untuk setiap keluarga dan berharap peruntukan itu dipantau kerajaan Persekutuan lebih ketat.
Ia susulan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri itu dan mengumumkan sejumlah RM50 juta ada disediakan untuk mangsa bencana tersebut.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pihaknya sudah menyalurkan bayaran ihsan itu melalui pejabat daerah sebelum proses pengagihan dilakukan kepada mangsa terlibat.
“Ini wang kerajaan Persekutuan yang kita serah kepada kerajaan negeri untuk mangsa dan perlu diberi jika mereka benar jujur mahu bantu rakyat dalam kesusahan,” tegasnya.
Menyentuh kerosakan prasarana awam akibat banjir, beliau berkata, bantuan pembaikan dibuat segera melibatkan koordinasi pelbagai agensi termasuk kerjasama pihak tentera.
NADMA malahan tambahnya, ada menyalurkan peruntukan kontingensi kepada agensi di setiap negeri terutama Jabatan Kerja Raya untuk pelaksanaan baik pulih infrastruktur.
Sekiranya melibatkan jalan luar bandar pula, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pihaknya memang ada peruntukan kecemasan bagi tujuan tersebut.
Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula 11 November lalu sudah memasuki luruan kelima dan dijangka berakhir pada Mac ini.
Ahmad Zahid bagaimanapun bersyukur kerana setakat hari ini, hanya tinggal 80 mangsa daripada 23 keluarga di empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) meliputi tiga negeri.
“Sejak MTL bermula, secara kumulatif 62,467 mangsa terlibat dengan Kelantan paling ramai iaitu 60 peratus diikuti Terengganu (35 peratus) dan baki ialah negeri-negeri lain,” ujarnya.
Dari segi kawasan pertanian terjejas pula katanya, ia melibatkan keluasan 4,893 hektar dengan anggaran nilai kerosakan RM22.82 juta dan membabitkan 2,269 orang petani. – UTUSAN