IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ahli Parlimen Bukit Gantang daripada Bersatu, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal untuk membantu program jualan harga murah Madani.
Syed Abu Hussin Hafiz dipilih untuk mengetuai satu daripada kluster atau jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup di bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol).
Pengumuman Anwar itu dibuat sewaktu beliau meninjau program Jualan Termurah Madani barangan basah dan kering di padang Taman Klebang Restu, Ipoh di bawah kawasan Parlimen Tambun, di sini hari ini yang diusahakan oleh Ahli Parlimen Bersatu tersebut.
“Saya tugaskan saudara Syed Abu Hussin Hafiz untuk bantu di bawah Naccol, dia akan menggepalai kluster untuk tambah ikhtiar dapat kita tingkatkan di seluruh negara. Kena perluaskan dan kerapkan lagi,” katanya.
Mengulas pengumuman Perdana Menteri, Syed Abu Hussin Hafiz berkata, beliau sebelum ini telah membentangkan kepada Anwar tentang bagaimana program jualan murah itu boleh diadakan.
Katanya, Perdana Menteri telah mencadangkan supaya program jualan murah itu diperluaskan di peringkat nasional.
Syed Abu Hussin Hafiz menyatakan dirinya perlu diberikan jawatan bersesuaian supaya mempunyai punca kuasa untuk menjayakan usaha tersebut yang akhirnya membolehkan beliau dilantik mengetuai kluster di bawah Naccol.
Katanya, tegasnya jualan harga murah itu tidak disokong dengan sebarang pembiayaan subsidi, tetapi hasil daripada usahanya mengurangkan peranan orang tengah selain membeli secara pukul dan menjual sehingga tiada lebihan barangan.
“Saya ada bentangkan model ini kepada Perdana Menteri, yang kerap dibuat oleh saya di Parlimen Bukit Gantang. Beliau sendiri mahu lihat model ini berjalan,” katanya.
Syed Abu Hussin berkata, program itu telah diadakan di Parlimen Lembah Pantai pada 6 Januari lalu dan Parlimen Bandar Tun Razak pada 21 Januari.
Katanya, beliau bercadang untuk mengadakan program yang sama secara kerap di tiga kawasan Parlimen itu dan sedia meluaskan di tempat lain. – UTUSAN