Agong titah jemaah menteri tidak dikaburi dengan kedudukan, harta

Agong titah jemaah menteri tidak dikaburi dengan kedudukan, harta

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet terakhir di Istana Negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar anggota pentadbiran tidak dikaburi dengan kedudukan, harta dan kepentingan peribadi.

Titah itu disampaikan menerusi warkah Al-Sultan Abdullah yang dibacakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Al Sultan Abdullah juga menitahkan supaya anggota pentadbiran kerajaan terus menabur khidmat bakti kepada rakyat demi Malaysia.

“Peringatan itu disampaikan baginda menerusi warkah perutusan terakhir yang diserahkan kepada Perdana Menteri ketika sesi menghadap untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara semalam.

“Dalam warkah itu, Tuanku menitahkan nasihat, peringatan (menerusi) sepotong ayat yang pernah dinukil Imam Al-Ghazali – ‘Sebenarnya kerosakan rakyat disebabkan kerosakan pemimpinnya, dan kerosakan pemimpin disebabkan oleh kerosakan ulama, dan kerosakan ulama disebabkan cinta harta dan kedudukan’.

“Itulah peringatan yang dititah Tuanku dan disampaikan kepada jemaah menteri sebagai peringatan agar kami sentiasa berkhidmat demi negara dan tidak memikirkan tentang kedudukan atau harta benda dan (kepentingan) peribadi,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah menerima menghadap Anwar Ibrahim untuk mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara, iaitu kali terakhir sebelum baginda menamatkan tempoh pemerintahan berakhir 30 Januari ini selepas bersemayam di atas takhta Kerajaan Malaysia selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Istana Negara dalam hantaran di Facebook rasmi berkata, sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, baginda berangkat menghadiri mesyuarat pra-Kabinet sebanyak 160 kali dengan empat Perdana Menteri dengan mesyuarat pra-Kabinet pertama dihadiri baginda adalah pada 13 Februari 2019.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, dalam warkah tersebut, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, bekas Perdana Menteri, menteri-menteri dan bekas menteri yang berkhidmat sepanjang baginda bersemayam di Istana Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya