PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan harapan agar hubungan Malaysia dan Denmark terus bertambah kukuh di bawah pemerintahan Raja Frederik X yang baru menaiki takhta.
Istana Negara memaklumkan, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga menzahirkan harapan supaya kedua-dua negara terus menikmati hubungan persahabatan yang bertunjangkan atas semangat hormati-menghormati dan kesefahaman bersama untuk meningkatkan hubungan ekonomi di samping merapatkan rakyat.
“Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Raja Frederik X yang dimasyurkan sebagai Raja Denmark.
“Baginda berdua berharap Raja Frederik X dan Permaisuri Mary serta rakyat Denmark semoga sihat dan berjaya pada tahun-tahun mendatang,” kata Istana Negara menerusi hantaran Facebook hari ini.
Semalam, Raja Frederik X menaiki takhta selepas bondanya, Ratu Margrethe, turun takhta,
Ini adalah kali kedua dalam sejarah Denmark di mana seorang Raja atau Ratu melepaskan takhta ketika masih hidup, dengan yang pertama sebelum ini ialah Erik III, hampir sembilan kurun lalu pada 1146.
Suri Raja Frederik, Mary adalah rakyat biasa pertama yang dinobatkan sebagai Permaisuri Denmark. – UTUSAN