Agong, PM mesyuarat pra-Kabinet terakhir

Agong, PM mesyuarat pra-Kabinet terakhir

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet terakhir di Istana Negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mesyuarat Pra-Kabinet terakhir di Istana Negara, hari ini.

Istana Negara memaklumkan, sesi mesyuarat pra-Kabinet tersebut cukup istimewa buat kedua-dua pemimpin, khususnya kepada Seri Paduka.

Katanya, mesyuarat tersebut adalah yang kali terakhir sebelum Seri Paduka menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini.

“Sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, Seri Paduka telah berkenan berangkat menghadiri mesyuarat Pra-Kabinet sebanyak 160 kali, termasuk sesi hari ini, dengan empat Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi Istana Negara.

Untuk rekod, mesyuarat pertama Pra Kabinet Seri Paduka Baginda adalah pada 13 Februari 2019 iaitu bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pada ketika itu menjawat jawatan Perdana Menteri Ke-7.

Selain Anwar dan Mahathir, sepanjang tempoh pemerintahan Seri Paduka turut berkenan menerima menghadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri Ke-8 dan Perdana Menteri Ke-9.

Istana Negara berkata, mesyuarat pra-Kabinet terakhir tersebut turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

“Mesyuarat pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya