PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui bahawa agihan subsidi kerajaan pernah tersasar oleh kerajaan terdahulu dan ia perlu diperbaiki.
Menurutnya, beliau melihat langkah mewujudkan Pangkalan Data Utama (PADU) tepat pada masanya sekali gus membolehkan agihan dibuat pada penerima yang hak.
“Ini (PADU) merupakan satu langkah kehadapan yang patut dilaksanakan ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran PADU di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, beliau mengakui kadar subsidi negara ketika ini adalah yang tertinggi di dunia.
“Saya fikir subsidi kita antara tertinggi di dunia, di Arab Saudi umpamanya, minyak (petrol) tak serendah dahulu tetapi kita subsidi masih rendah dan dinikmati oleh semua orang termasuk warga asing,” katanya.
Katanya, beliau berpendapat PADU harus dilaksanakan dengan segera supaya kerajaan boleh lakukan penjimatan selain melaksana pelbagai program pembangunan. –UTUSAN