ADUN Pantai Jerejak tawar diri potong pencen

ADUN Pantai Jerejak tawar diri potong pencen

FAHMI ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Fahmi Zainol menawarkan diri sebagai individu pertama dalam kelompok ahli politik untuk dipotong pencen perkhidmatan.

Fahmi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan (MPP) berkata, ini kerana pada pendapat beliau, pemansuhan skim pencen itu perlu selaras dilakukan bukan sahaja melibatkan penjawat awam yang baharu, malah ahli politik yang baharu dan berkhidmat dalam tempoh sepenggal juga wajar dikenakan tindakan sama.

”Pelbagai pihak memberikan komentar berkenaan cadangan pembaharuan yang akan dilakukan kerajaan.

“Oleh itu, saya selaku wakil rakyat ingin menawarkan diri sebagai individu yang pertama dalam kelompok ahli politik untuk dipotong pencen perkhidmatan,” katanya di sini hari ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Fahmi yang merupakan calon muka baharu PKR menang dengan majoriti 8,597 undi, menewaskan Oh Tong Keong (PN-Gerakan).

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kabinet bersetuju supaya perjawatan bagi penjawat awam baru kerajaan berstatus tetap selepas ini adalah tidak berpencen.

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, berkata, pelbagai pihak menunjukkan perasaan tidak berpuas hati berkenaan penghapusan sistem pencen dalam kalangan penjawat awam tanpa melibatkan wakil rakyat.

”Hal ini harus bergerak seiring iaitu melibatkan juga wakil rakyat, mungkin tidak adil bagi wakil rakyat yang telah berkhidmat dalam tempoh yang panjang dikenakan perkara yang sama.

”Namun begitu, bagi ahli politik yang baharu atau berkhidmat sepenggal dilihat relevan untuk tidak memperolehi pencen,” katanya.

Fahmi berkata, melalui isu itu, beliau menegaskan untuk diberikan kesamarataan melalui penghapusan skim pencen dalam kalangan Menteri atau wakil rakyat yang berkhidmat dalam tempoh sepenggal.

”Penghapusan Skim Pencen Perkhidmatan Awam dalam kalangan wakil rakyat bukan sahaja dilihat mampu memberi keadilan, malah ia dapat memastikan kesamarataan dapat diberikan kepada semua tanpa mengira ahli politik mahupun penjawat awam biasa,” katanya.

Tambahnya, penggantian satu kaedah baharu bagi menggantikan skim pencen kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam kalangan wakil rakyat harus dilaksanakan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya