PAPAR: Apabila berlaku gangguan bekalan air berjadual di Semenanjung Malaysia kecoh satu negara namun, di Sabah berkali-kali dalam tempoh sebulan berlaku gangguan bekalan, tidak dapat perhatian meluas.
Itu kekecewaan yang dilahirkan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali mengenai gangguan bekalan air yang berlaku di negeri ini.
Di Parlimen itu, sesetengah tempat seperti di Mukim Kinarut, gangguan bekalan air berlaku berkali-kali dalam tempoh sebulan namun, masalah itu tidak mendapat perhatian meluas.
Situasinya berbeza apabila berlaku gangguan bekalan air di Semenanjung Malaysia. Ketika gangguan bekalan air seperti di Pulau Pinang baru-baru ini, biarpun gangguan bekalan air yang jadualnya telah dimaklumkan lebih awal untuk kerja-kerja penyelenggaraan namun, kecoh satu negara.
“Di Sabah, ada tempat yang penduduknya berhadapan dengan catuan air sepanjang masa. Ada kawasan perumahan berbelas tingkat seperti Perumahan Puncak Gloxinia di Kinarut tiada bekalan air selama berminggu-minggu,” katanya semasa melawat projek Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2, di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas tentang pembinaan Empangan Kaiduan, Armizan berkata, beliau akan meminta kerajaan negeri membuat keputusan segera mengenai rancangan pembinaan empangan tersebut.
“Kerajaan negeri perlu buat keputusan, jangan tangguh. Apa juga penyelesaiannya perlu buat keputusan kerana dulu kita mahu buat tapi, tidak jadi apabila orang bising (bantah).
“Saya fikir kita kena buat keputusan walaupun kadang-kadang keputusan itu tidak popular tapi, untuk jangka panjang ia penting,” katanya.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, masalah sumber air mentah antara isu dihadapi di Sabah maka, kaedah penyelesaian segera perlu diambil.
“Itu sebabnya saya minta semua pihak khususnya parti politik, jangan hanya mengapi-apikan dan buat isu tertentu.
“Kalau bertanggungjawab dan kalau betul sayang Sabah, biar pakar yang menentukan apa penyelesaian terbaik (isu air) dan bukan orang politik putuskan. Saya pasti kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-Pakatan Harapan (PH) akan mengikut ulasan pakar,” katanya.
Armizan berkata, apabila pakar menentukan bahawa pembinaan Empangan Kaiduan itu adalah kaedah penyelesaian terbaik maka, ia harus diteruskan. – UTUSAN