GEORGE TOWN: Tanda tanya berkenaan identiti lelaki yang nekad terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang untuk menyelamatkan dua individu yang terjatuh semalam akhirnya terjawab apabila lelaki terbabit ialah seorang anggota tentera iaitu Koperal Mazlan Abdul Rahman.
Perkara itu disahkan Tentera Darat Malaysia (TDM) hari ini yang turut memaklumkan sikap berani dan pantas yang ditunjukkan oleh Koperal Mazlan terbabit wajar dijadikan contoh oleh seluruh warga TDM.
Mengulas kejadian itu, TDM berkata, Koperal Mazlan dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) sedang melalui Jambatan Pulau Pinang dan bertindak terjun ke laut sejurus terdengar jeritan meminta tolong dari bawah jambatan terbabit.
”Koperal Mazlan juga telah memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa setelah merapat ke bot berhampiran.
“Tindakan pantas berkenaan telah berjaya menyelamatkan nyawa mangsa orang awam yang dipercayai terjatuh ke dalam laut.
“Sikap berani dan pantas yang ditunjukkan oleh Koperal Mazlan ini wajar dijadikan contoh oleh seluruh warga TDM,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 7.45 malam semalam, Koperal Mazlan terjun ke laut dari Jambatan Pulau Pinang untuk menyelamatkan seorang lelaki dan seorang wanita yang terjatuh di Kilometer 2.8 jambatan itu menghala ke Perai.
Terdahulu, kedua-dua mangsa dikatakan bertengkar di atas jambatan berkenaan sebelum mereka terjatuh ke dalam laut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin hari ini berkata, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu membabitkan kesalahan cubaan membunuh berhubung kejadian terbabit selepas wanita yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang berkenaan mendakwa dia ditolak rakan lelakinya itu. – UTUSAN